Anda di sini

Tengku Abdullah tanding exco FIFA

Advertisement

KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah mengumumkan akan bertanding jawatan exco Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) bagi penggal 2015-2018 semalam.

Baginda bakal bertanding bersama lima calon lain bagi merebut tiga kerusi yang diperuntukkan kepada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Tengku Abdullah bertitah keputusan untuk bertanding dibuat selepas menerima sokongan padu daripada anggota exco FAM serta ahli gabungan AFC dan Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF).

Menerusi kempen di bawah moto ‘1Asia 1Suara’, Tengku Abdullah yang mempunyai pengalaman hampir 30 tahun dalam dunia bola sepak berharap untuk menyatukan benua Asia supaya muncul sebagai kuasa besar dunia pada masa depan.

“Saya berhasrat untuk berkhidmat kepada Asia sebagai pemain pasukan di peringkat global, pada masa sama bekerja dengan Presiden FIFA, Datuk Joseph Sepp Blatter dan Presiden AFC Sheikh Salman Ebrahim Al Khalifa untuk membawa benua Asia ke tahap yang sepatutnya iaitu kuasa besar dunia dalam bola sepak.

“Saya bangga untuk menyatakan bahawa saya telah mendapat restu mereka untuk bertanding. Malah, Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) telah memberi sokongan penuh bahawa saya akan menjadi salah satu calon yang menang,” titah baginda kepada pemberita semasa pengumuman khas mengenai perkara itu di sini.

Tengku Abdullah bertitah sekiranya dipilih, baginda berharap untuk mendapatkan lebih banyak slot untuk Asia dalam pusingan final Piala Dunia sambil menambah negara-negara Asia perlu diberikan peranan yang lebih penting dalam badan pentadbir bola sepak dunia.

“Kami adalah benua terbesar…kita harus mula memainkan peranan. Sebagai anggota exco FIFA akan datang, saya percaya kita (negara-negara Asia) perlu diberi lebih banyak tempat pada pusingan final Piala Dunia berbanding empat slot ketika ini.

“Selain itu, saya juga percaya tempat kita dalam FIFA itu sendiri perlu ditambah,” titah baginda, yang juga Tengku Mahkota Pahang.

Mengenai lima lain calon lain, baginda, yang juga naib presiden AFC bertitah, pencabarnya masing-masing mempunyai kelebihan tersendiri tetapi baginda percaya hubungan baik dengan ahli gabungan FIFA bakal menjadi kunci kejayaan seseorang calon itu.

Dalam perkembangan lain, Tengku Abdullah bertitah walaupun menerajui Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) dan Persekutuan Hoki Asia (AHF) tetapi ia bukan penghalang untuk berkhidmat dalam mana-mana persatuan sukan selagi mampu menguruskan masa dengan bijak.

Pemilihan tiga calon dari benua Asia bagi jawatan exco FIFA akan diputuskan pada Kongres AFC yang dijadual diadakan di sini pada April atau Mei tahun lalu. — Bernama

Advertisement