Anda di sini

SB Sabah bekalkan maklumat sasaran bagi pemintasan komunikasi

Advertisement

KOTA KINABALU: Dua pegawai Cawangan Khas berpusat di Sabah menyediakan maklumat tentang individu yang dikaitkan dengan pencerobohan Lahad Datu pada Februari tahun lepas bagi membolehkan pemintasan komunikasi dijalankan, Mahkamah Tinggi di sini diberitahu semalam.

Pegawai Cawangan Khas Bukit Aman Supt Anuar Ahmad, 57, yang bertanggungjawab mengendalikan pemintasan komunikasi itu, berkata beliau menerima maklumat tentang 11 individu yang disasarkan untuk pemintasan komunikasi itu daripada Timbalan Ketua Cawangan Khas Sabah ketika itu, SAC Zulkifli Abd Aziz dan mendiang DSP Michael Padel, yang merupakan Ketua Cawangan Khas daerah Semporna.

Anuar, saksi ke-49 pendakwaan, memberi keterangan pada perbicaraan 30 tertuduh yang berdepan pelbagai dakwaan berhubung pencerobohan Lahad Datu.

Tertuduh, terdiri daripada 27 warga Filipina dan tiga penduduk tempatan, dibicarakan atas pelbagai tuduhan termasuk menganggotai kumpulan pengganas atau melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong, merekrut anggota untuk kumpulan pengganas atau secara sukarela melindungi individu yang mereka tahu adalah anggota kumpulan pengganas.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu antara 12 Feb dan 10 April tahun lepas.

Pada 12 Feb tahun lepas, Anuar memperoleh maklumat daripada Zulkifli tentang orang bernama Al Wazir Osman alias Abdul, dipercayai menggunakan satu nombor telefon tertentu.

Beliau memberitahu mahkamah bahawa pada 14 Feb tahun lepas, Zulkifli memaklumkan kepadanya tentang seorang lagi individu dikenali sebagai Datu Agbimuddin Kiram dengan dua nombor telefon.

Anuar berkata beliau dibekalkan dengan nama enam lagi individu untuk disasarkan dalam pemintasan komunikasi itu — seorang daripada Zulkifli dan bakinya daripada mendiang Michael.

Beliau berkata nama individu yang dibekalkan Michael ialah Salib Akhmad Emali dengan satu nombor telefon, Anwar Salib Akhmad (satu nombor), Julham Rashid (dua nombor), Tani Lahaddahi alias Panglima Tani (dua nombor) dan Abdul Hadi Mawan (satu nombor).

Zulkifli pula membekalkan beliau lima nombor telefon dipercayai digunakan orang bernama Datu Amir Bahar alias Datu Bahang.

Beliau memberitahu mahkamah Michael membekalkan beliau dengan nama tiga lagi individu pada 18 Feb tahun lepas (Basil Samuil) dan 28 Feb tahun lepas (Abdul Majil Jubin dan Norhaida Ibnahi), masing-masing menggunakan satu nombor telefon.

Sebaik menerima maklumat tentang individu terbabit pada tarikh berkenaan, Anuar memaklumkan pegawai atasannya, SAC Yusoff Mohd Amin untuk memohon kebenaran daripada Jabatan Peguam Negara supaya pemintasan komunikasi itu dijalankan ke atas sasaran.

Beliau berkata Yusoff memberitahunya bahawa persetujuan diberi oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria bagi semua permohonan, yang beliau (Anuar) kemudian maklumkan kepada ASP Mohd Fuzairi, pegawai bertugas di Unit Teknikal Cawangan Khas Bukit Aman, untuk mula memintas komunikasi.

Perbicaraan di hadapan Hakim Stephen Chung di Jabatan Penjara Sabah bersambung pada 10 Nov. — Bernama

Advertisement