Anda di sini

Pejabat Bernama Biro Pahang dipecah masuk

Advertisement

KUANTAN: Pejabat Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Biro Pahang di Jalan Berserah di sini dipecah masuk malam kelmarin.

Pemeriksaan awal mendapati wang panjar pejabat lebih RM1,000 dan server kamera litar tertutup hilang dalam kejadian itu, kata pembantu tadbir Zafri Razali, 32.

Katanya apabila tiba untuk bekerja jam 8 pagi, beliau berasa curiga apabila keadaan di tangga menuju ke tingkat satu pejabat dalam keadaan gelap.

“Sebaik tiba, saya terkejut apabila mendapati kaca bertaburan di lantai dengan pintu pejabat terbuka,” katanya.

Zafri berkata pejabat didapati berada dalam keadaan berselerak dengan kesemua laci meja petugas termasuk bilik Ketua Biro Bernama Pahang Noor Shamsiah Mohamad digeledah.

Beliau kemudian menghubungi ketua biro dan kakitangan lain, bagi memaklumkan kejadian itu.

Katanya penjenayah turut melarikan server CCTV dan memutuskan semua bekalan elektrik dipercayai untuk mengelak perbuatan itu dikesan.

Satu laporan polis kemudian dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan kira-kira jam 9.30 pagi semalam. — Bernama

Advertisement