Anda di sini

JPN Negeri Sembilan akan baik pulih bumbung dewan Kolej Tunku Kurshiah

Advertisement

ROSAK: Abd Razak menunjukkan siling sekolah itu yang rosak akibat kejadian angin kuat di Nilai semalam. — Gambar Bernama

NILAI: Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) akan mengambil langkah segera bagi membaik pulih bumbung Kolej Tunku Kurshiah (KTK) dan Sekolah Kebangsaan LB Johnson, di sini petang kelmarin.

Pengarah Pendidikan Ne-geri Sembilan Datuk Kalsom Khalid berkata pihak PPD akan membuat anggaran baik pulih bahagian bangunan yang mengalami kerosakan manakala kos baik pulih tersebut akan ditanggung oleh JPN.

“Pada jam 6.40 petang semalam (kelmarin), hujan lebat dan angin kuat telah menyebabkan kerosakan yang agak serius di mana hampir keseluruhan struktur bumbung di Dewan Budiman KTK roboh.

“Kejadian yang sama berlaku di Sekolah Kebangsaan LB Johnson pada jam 5.40 petang di mana dua daripada lima buah blok mengalami kerosakan pada atap genting dan siling selain pasu bunga yang berselerakan dan enam batang pokok yang tumbang di kawasan ini,” beliau berkata demikian kepada Bernama semasa mengadakan lawatan ke Sekolah Kebangsaan LB Johnson, di sini semalam.

Katanya, tindakan akan diambil dengan segera bagi mengelakkan kejadian yang sama tidak berulang lagi di masa terdekat ini berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu.

“Jika kita tidak baiki dengan secepat yang mungkin, kemungkinan kelas tidak dapat digunakan kerana air hujan akan memasuki bilik-bilik darjah. Walaupun Peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah telah selesai, tetapi peperiksaan akhir tahun masih lagi berlangsung.

“Oleh itu, saya berharap agar pihak sekolah mengambil langkah-langkah keselamatan untuk pastikan supaya para pelajar termasuk guru-guru tidak berada di tempat yang berbahaya kerana kita beranggapan musim hujan ribut ini akan berlarutan,” katanya.

Sementara itu, Guru Besar Sekolah Kebangsaan LB Johnson, Abd Razak Rasdi berkata kerosakan pada atap bumbung sekolah itu tidak begitu teruk namun beliau bimbang dengan aspek ke-selamatan pelajar.

“Tiada kecederaan dan kemalangan jiwa berlaku semalam namun sebuah kereta Toyota Vios milik salah seorang guru mengalami sedikit kerosakan kerana kenderaannya berada betul-betul di bawah salah sebuah blok bangunan dua tingkat yang dilanda ribut itu,” katanya. — Bernama

Advertisement