Anda di sini

Elakkan berada di kawasan lapang ketika musim hujan sekarang

Advertisement

KUALA LUMPUR: Orang ramai dinasihati supaya tidak berada di kawasan lapang ketika musim hujan sekarang yang berlaku disebabkan peralihan monsun.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi, Datuk Che Gayah Ismail berkata ini kerana hujan lebat berserta ribut petir dan angin kencang akan sering kali berlaku semasa tempoh berkenaan, selain boleh menyebabkan berlaku puting beliung.

Beliau memberitahu Bernama walaupun tempoh hujan dan ribut petir berlaku antara setengah jam hingga tiga jam, namun sebarang aktiviti luar adalah berbahaya.

Mengulas mengenai kejadian puting beliung di Pendang, Kedah pada Rabu lepas, beliau berkata ia terjadi apabila berlaku pertembungan jisim udara sehingga menyebabkan jumlah lembapan terkumpul dan menghasilkan awan kumulonimbus yang turut dikenali sebagai awan ribut petir.

Bagaimanapun katanya, iklim Malaysia yang bersifat panas dan lembap sepanjang tahun tidak akan mengakibatkan angin puting beliung yang teruk seperti di negara lain.

“Kejadian puting beliung amat sukar diramal. Namun kawasan di Pendang yang lapang dan luas memungkinkan kejadian itu berlaku, diikuti fenomena hujan dan ribut petir dalam tempoh peralihan monsun,” kata Che Gayah.

Malaysia melalui tempoh peralihan monsun bermula hujung September hingga pertengahan November yang menggantikan fasa akhir monsun barat daya. — Bernama

Advertisement