Anda di sini

14 pemain sedia ada dikekalkan

Advertisement

Oleh Harry Ilias

SIDANG MEDIA: Sudarsono (tengah) bersama Abu Bakar (kiri) dan Razali pada sidang media di Kuching semalam.

Enam pemain dilepaskan, dua pemain Piala Presiden diserap dalam skuad Ngap Sayot

KUCHING: Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) mengekalkan seramai 14 pemain musim ini bagi mengharungi cabaran Liga Malaysia pada musim depan.

Pemain-pemain yang dikekalkan ialah Mohd Fadzley Abdul Rahim, Aidil Mohamad (penjaga gol), Muhd Dzulfadli Awang Marajeh, Mazwandi Zakeria, Mohd Dzulazlan Ibrahim, Ashri Chuchu, Mohd Hairol Mokhtar, Rames Lai Ban Huat, Ronny Harun, Joseph Kalang Tie dan Mohd Shahrol Saperi.

Turut dikekalkan tiga pemain import iaitu Muamer Salibasic, Ryan Alan Griffiths dan Gabor Gyepes.

Presiden FAS, Datu Sudarsono Osman mengumumkan senarai pemain-pemain terbabit pada sidang media di sini semalam berkata lima lagi pemain musim ini masih dalam peringkat rundingan untuk dikekalkan.

Mereka ialah Zamri Morshidi, Reeshafiq Alwi, Azizan Saperi, Dalglish Papin Test dan Mohd Lot Abu Hassan.

Manakala enam pemain dilepaskan dan digugurkan dalam skuad Sarawak musim depan ialah Sani Anuar Kamsani (penjaga gol), Mafry Balang, Mohd Rashid Aya, Akmal Rizal Rakhli, S Chanturu dan Junior Eldstal.

“FAS juga telah menyerapkan dua pemain dari skuad Piala Presiden musim ini iaitu Shreen Tambi dan Florian Rison Laes untuk menguatkan cabaran Ngap Sayot musim depan,” katanya.

Sudarsono menarik perhatian, Sarawak juga akan mendapatkan khidmat tiga pemain tempatan baharu selain dalam proses menyerapkan tiga lagi pemain lain.

“Ia akan diumumkan kemudian kerana mereka masih terikat dengan pasukan-pasukan lain dan kita perlu menghormati kontrak mereka,” tambahnya.

Menurut Sudarsono, FAS juga sedang mencari seorang lagi penyerang import bagi mengisi slot yang ditinggalkan oleh Hassan El Mohamed.

Katanya, skuad Sarawak akan kembali berlatih seperti biasa bermula 10 hingga 27 November depan.

“Kita akan menjalani kem latihan luar di Miri pada 29 November hingga 5 Disember selepas menerima jadual awal Liga Malaysia 2015 yang dijangka dikeluarkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada Disember depan,” jelasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Sudarsono berkata Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) FAS akan diadakan pada 1 November depan di lokasi yang masih belum ditetapkan.

Hadir sama Timbalan Presiden FAS, Datu Mohamad Abu Bakar Marzuki dan dua Naib Presiden FAS Razali Dolhan dan Haidel Heli.

 

Advertisement