Anda di sini

Nasharuddin ikrar cipta rekod baharu di Incheon

Advertisement

INCHEON: Atlet olahraga negara Mohd Nasharuddin Mohamad berazam untuk mencipta rekod baharu dalam acara trek 400m kategori T20 pada Sukan Para Asia 2014 di Incheon, Korea Selatan.

Beliau yang sebelum ini mencatat 51.20 saat pada temasya Sukan Para Asean ke-7 di Naypyitaw, Myanmar berhasrat untuk merekod catatan 50 saat.

“Ini merupakan kali pertama saya sertai Sukan Para Asia dan saya hanya menyertai satu acara trek sahaja iaitu 400m. Jadi saya memang dapat memberi tumpuan sepenuhnya kepada acara tersebut.

“Saya harap saya dapat ulangi pencapaian saya di Naypyitaw awal tahun ini dengan meraih tiga pingat emas dan mencatatkan kesemua rekod baharu,” katanya kepada Bernama semasa sesi latihan di Stadium Utama Sukan Para Asia 2014 di sini.

Sebagai rekod, Mohd Nasharuddin menyumbang tiga emas pada Sukan Para Asean 2013 sekali gus mencatat rekod kejohanan baharu iaitu 11.31 saat bagi acara 100m dan 23.00 saat bagi acara 200m.

Nasharuddin berkata untuk mengekalkan prestasi cemerlangnya, beliau  menjalani sesi latihan selama enam jam setiap hari dan menjaga pemakanan agar kesihatan dan staminanya terjaga.

Mengulas mengenai keyakinannya untuk bersaing di temasya terbesar di Asia ini, beliau berkata beliau yakin dirinya berpeluang untuk naik ke podium dan menggenggam pingat emas.

“Saya tak nafikan cuaca memang sejuk di sini dan pada mulanya sikit terganggu, tapi saya selesa berlatih di sini dan sudah biasakan diri dengan cuaca sejuk.

“Jadi saya harap pada hari perlawanan nanti, tidak akan berlaku sebarang masalah dan saya akan pastikan badan saya sentiasa panas bagi menjaga prestasi saya,” katanya. — Bernama

Advertisement