Anda di sini

Kejohanan Liga Sukan Untuk Semua di Kapit dari 10 hingga 25 Oktober

Advertisement

KAPIT: Jabatan Belia dan Sukan Bahagian Kapit menganjurkan Kejohanan Liga Sukan Untuk Semua di beberapa lokasi terpilih di sekitar Kapit dari 10 hingga 25 Oktober ini.

Kejohanan yang berlangsung selama dua minggu dimeriahkan dengan pelbagai acara sukan seperti pertandingan bola sepak (sembilan sebelah), bola jaring, sepak takraw, pingpong, futsal (lelaki dan wanita) dan bola keranjang ‘3 on 3.’

Menurut jurucakap Jabatan Belia dan Sukan Bahagian Kapit, pertandingan bola sepak dan bola jaring telah berlangsung dengan jayanya di Belaga selama tiga hari, bermula dari 10 hingga 12 Oktober lepas.

“Pertandingan bola sepak telah disertai seramai 19 buah pasukan yang mengambil bahagian dengan menyaksikan pasukan Umbaster dari Long Lawen muncul sebagai juara.

“Manakala, pasukan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Belaga dinobatkan johan pertandingan bola jaring yang disertai seramai lapan buah pasukan,” jelasnya.

Tambah beliau, pertandingan futsal (lelaki dan wanita), sepak takraw dan pingpong dijadualkan berlangsung selama tiga hari dari 17 hingga19 Oktober.

“Pertandingan bola keranjang ‘3 on 3’ yang menjadi acara penutup bagi Kejohanan Liga Sukan Untuk Semua, diadakan bermula dari 24 hingga 25 Oktober depan,” ujarnya.

Advertisement