Anda di sini

Alonso perlukan perangsang baharu

Advertisement

Pemandu dari Britain itu akan tinggalkan Ferrari pada akhir musim ini

LONDON, England: Fernando Alonso akan meninggalkan pasukan Formula Satu (F1) Ferrari pada akhir musim ini kerana beliau mahukan persekitaran yang baharu dan perlu mencipta kemenangan sekali lagi, menurut bekas pengerusi pasukan dari Itali itu, Luca di Montezemolo Rabu lepas.

Ferrari masih belum mengesahkan Alonso akan pergi, walaupun ia sudah dijangkakan sejak juara dunia empat tahun, Sebastian Vettel, mengumumkan pada awal bulan ini di mana beliau akan meninggalkan Red Bull pada akhir tahun ini.

Vettel masih belum berkata di mana beliau akan berlumba musim hadapan walaupun pengurus Red Bull, Christian Horner berkata pemandu kelahiran Jerman itu akan ke Ferrari.

“Fernando pergi untuk dua sebab,” kata Montezemolo ketika memberitahu televisyen Itali, RAI.

“Satu kerana beliau mahu mencari persekitaran baharu. Dan kedua kerana pada usianya, beliau tidak dapat menunggu lebih lama untuk memburu kemenangan.

“Beliau berasa kecewa kerana tidak memenangi kejuaraan dalam tempoh ini dan beliau memerlukan perangsang baharu.”

Montezemolo meninggalkan Ferrari Isnin lepas dan menyerahkan tugas kepada pengurus syarikat induk Ferrari, FIAT, Sergio Marchionne.

Alonso, juara dunia dua kali ketika bersama pasukan Renault, menyertai Ferrari pada 2010 dan muncul naib juara pada tiga dari empat musim terakhir.

Ferrari belum memenangi satu perlumbaan sejak lebih dari setahun dan ketika ini berada di tangga keempat keseluruhan dan membayangkan musim tanpa kemenangan perlumbaan yang pertama mereka sejak 1993.

Alonso dijangka kembali ke McLaren, pasukan yang ditinggalkan selepas satu musim pada 2007 ketika Lewis Hamilton adalah rakan sepasukan.

Alonso memberitahu wartawan pada Grand Prix Rusia minggu lepas di mana pemilihan pasukan baharu akan dibuat nanti dan beliau tidak dijangka akan memandu untuk pasukan dengan enjin Mercedes sekali lagi.

Beliau menambah bahawa tiada sebarang risiko untuk beliau tidak memandu dalam F1 pada tahun hadapan.

McLaren memulakan kerjasama baharu dengan pengeluar enjin Honda musim hadapan.

Kepulangan Alonso ke McLaren dalam pada itu akan membangkitkan persoalan mengenai masa depan Jenson Button dalam F1, dengan juara dunia 2009 itu akan tamat kontrak semasanya pada akhir tahun ini.

Pemandu kelahiran Britain itu memberitahu wartawan di Sochi minggu lepas di mana beliau tetap tenang dengan masa depannya.

“Saya tidak lagi ambil kisah dengan soalan yang sentiasa diajukan tentang masa depan saya,” katanya. “Saya tidak gembira dengan perlumbaan terakhir tetapi saya lebih tenang tentang soalan mengenai masa depan.” — Reuters

Advertisement