Anda di sini

Tiada laporan pelajar terlibat ISIS di Sabah

Advertisement

Oleh SURAIDAH ROSLAN //

Jame bersalaman dengan warga pendidik yang hadir dalam Persidangan Teknologi Pendidi-kan 2014, di Kompleks Tabung Haji.

KOTA KINABALU: Tiada laporan mengenai penglibatan pelajar dalam aktiviti Kumpulan Negara Islam Iraq dan Syria (ISIS) yang diterima oleh Jabatan Pendidikan Negeri Sabah setakat ini, kata Pengarahnya Datuk Jame Alip.

Bagaimanapun, beliau memberi jaminan bahawa kegiatan seperti itu akan sentiasa dipantau agar tiada pelajar terlibat dalam kegiatan sedemikian.

Beliau juga menyarankan warga pendidik terutama pengetua dan guru besar supaya memainkan peranan mendidik pelajar beragama Islam agar tidak melibatkan diri dalam ISIS kerana ia mampu memesongkan akidah seseorang.

Katanya, jika dilihat perkembangan teknologi masa kini yang semakin canggih dan maklumat tersebar dengan mudah terutama melalui laman media sosial seperti Facebook dan Twitter, ia mampu mempengaruhi pemikiran anak-anak muda pada masa ini.

“Untuk itu, saya meminta warga pendidik terutama ustaz dan ustazah supaya sentiasa memberi nasihat kepada pelajar beragama Islam supaya tidak terpengaruh dengan ISIS ini,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Persidangan Teknologi Pendidikan (Teknopen) Kinabalu 2014, di Kompleks Tabung Haji, di sini kelmarin.

Beliau juga mengingatkan warga pendidik agar sentiasa memantau pelajar agar tidak membawa gajet ke sekolah kerana dikhuatiri ia akan mengganggu proses pembelajaran.

Jika dilihat dari segi peraturan sekolah, pihak sekolah berhak merampas barangan seperti gajet sekiranya pelajar didapati membawanya.

Jame juga menyarankan pengurusan sekolah agar sentiasa mengambil perhatian mengenai perkara itu kerana jika mereka sering melihat laman sosial dan laman sesawang, mereka mungkin akan membaca mengenai ISIS dan mungkin akan terpengaruh.

Dalam pada itu, bagi memantapkan lagi proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) di sekolah, warga pendidik disaran agar menjalankan kajian tindakan di sekolah masing-masing untuk memastikan keberkesanan proses PdP.

Dengan adanya kajian tindakan itu, proses PdP akan menjadi lebih menarik kerana pengubahsuaian dalam amalan PdP perlu dilakukan. Ia akan membantu meningkatkan tahap pencapaian murid pada tahap yang lebih baik berbanding sebelum kajian dijalankan.

Sekiranya aktiviti PdP yang dirancang mampu menangani masalah yang wujud, boleh dirumuskan bahawa amalan pengajaran guru berkesan.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri (BTPN) Sabah Ahamad Jais berkata, daripada 50 kajian tindakan yang disediakan hanya 20 sahaja yang terpilih untuk dibentangkan dalam Teknopen.

Katanya, setiap sekolah dikehendaki menyediakan dua kertas kerja kajian tindakan namun, hanya 20 kertas kerja yang terbaik mengenai kajian tindakan sahaja yang dipilih.

Menurutnya, pembelajaran bertambah menarik dengan adanya Persekitaran Pembelajaran Maya Frog (VLE) yang dilaksana mengikut Pelan Strategik ICT (Tenologi Komunikasi Maklumat) 2013-2015.

Melalui VLE, pelajar dan guru dapat berinteraksi melalui kemudahan teknologi yang ada untuk memberi tugasan dan menyemak markah.

Terdapat lebih 450 warga pendidik menyertai persidangan itu.

Advertisement