Anda di sini

Skuad lawan pedang dapat khidmat jurulatih Indonesia

Advertisement

KUCHING: Skuad lawan pedang Sarawak bakal mendapatkan khidmat jurulatih dari negara jiran Indonesia sebagai persediaan menghadapi SUKMA 2015 yang akan berlangsung di Kuala Lumpur.

Jurulatih dimaksudkan, Sunardi, 65, tiba di Sibu pada minggu lepas untuk membantu sesi pemilihan atlet bayangan bertempat di SMK Sibu Jaya.

Ketika ditemui Utusan Borneo semalam, beliau telah menyatakan persetujuan untuk melatih skuad lawan pedang Sarawak dan hanya menunggu kontrak rasmi daripada Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS).

“Pada dasarnya saya telah bersetuju untuk melatih atlet Sarawak setelah mengadakan perbincangan awal dengan pihak MSNS,” menurut Sunardi yang berasal dari Mempawah, Kalimantan Barat.

“Jika semuanya berjalan dengan lancar, saya akan mula melatih pada 7 November ini.”

Menurut Sunardi, fokus utamanya kini adalah untuk membantu Sarawak menggondol pingat pada SUKMA tahun depan sambil menambah sasaran itu mampu dicapai sekiranya atlet dibekalkan dengan latihan yang mencukupi bermula dari sekarang.

“Secara jujur, saya melihat kemahiran atlet di sini masih terlalu rendah terutama dari faktor fizikal dan kepantasan.

“Ini satu cabaran bagi saya namun ia tidak akan mematahkan semangat saya untuk membantu Sarawak mencapai kejayaan.”

Sunardi mempunyai pengalaman meluas selama 32 tahun melatih atlet lawan pedang Indonesia yang terlibat dalam kejohanan seperti Pekan Olahraga Nasional (PON) dan kejohanan antarabangsa lain.

Di bawah kendaliannya, skuad kebangsaan Indonesia berjaya meraih pingat gangsa pada Sukan SEA 2005 di Filipina menerusi acara foil wanita.

Malah, dua anak perempuannya yang masih bergiat aktif dalam sukan itu pernah menggondol pingat emas pada kejohanan PON.

Beliau juga pernah membantu atlet SUKMA Negeri Sembilan menggondol pingat semasa menjadi jurulatih skuad tersebut pada 2008 dan 2011.

Ketika ini, Sunardi mengendalikan sekolah sukan lawan pedang yang ditubuhkannya pada 2000 di Mempawah, Kalimantan Barat dan mempunyai sekitar 45 pelatih berusia antara 9-30 tahun.

“Saya mempunyai perancangan untuk membawa atlet menjalani latihan di Mempawah dari Januari hingga Februari tahun depan.

“Di sana, mereka berpeluang menyertai pertandingan pendedahan di Probolingo, Jawa Timur yang terkenal dengan atlet lawan pedang terbaik di Indonesia,” tambahnya.

Advertisement