Anda di sini

Komander platun PGA tahu tentang pencerobohan di Kampung Tanduo

Advertisement

KOTA KINABALU: Seorang komander platun Pasukan Gerakan Am (PGA) dimaklumkan mengenai pencerobohan di Kampung Tanduo, Lahad Datu pada Februari tahun lepas, kira-kira dua jam selepas sekumpulan penceroboh mendarat di kampung itu.

Insp Shogghirajan Nagendram, 29, selaku Komander Platun 7, Kompeni C Batalion ke-17 PGA memberitahu Mahkamah Tinggi di sini semalam, kira-kira 12 tengah hari pada 12 Feb tahun lepas, komander kompeni beliau ASP Azman Madusin memanggilnya ke pejabat dan dia dimaklumkan tentang pencerobohan.

“Kira-kira jam 12 tengah hari pada 12 Feb tahun lepas, saya dipanggil ASP Azman ke pejabat beliau dan memberitahu saya bahawa sekumpulan penceroboh mendarat di Kampung Tanduo kira-kira jam 10 pagi hari itu.

“Saya dimaklumkan oleh ASP Azman bahawa mereka (penceroboh) mendarat dengan bot kecil,” kata beliau ketika memberi keterangan pada perbicaraan 30 tertuduh yang dituduh melakukan pelbagai kesalahan bersabit dengan pencerobohan itu.

Tiga puluh tertuduh, terdiri daripada 27 warga Filipina dan tiga penduduk tempatan, dibicarakan atas pelbagai tuduhan termasuk menganggotai kumpulan pengganas atau melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong, merekrut anggota untuk kumpulan pengganas atau secara sukarela melindungi individu yang mereka tahu adalah anggota kumpulan pengganas.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu antara 12 Feb dan 10 April tahun lepas.

Ketika ditanya oleh Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusoff sama ada beliau menerima apa-apa arahan berhubung dengan pencerobohan pada hari itu, Shogghirajan berkata kira-kira jam 7 malam, Azman mengarahkannya membuat persediaan untuk anggota-anggotanya bergerak ke Komtek Felda Sahabat 16 pada 7 pagi hari berikut.

Kepada satu soalan, beliau berkata Kompeni A Batalion ke-17 PGA juga menerima arahan yang sama.

Beliau memberitahu mahkamah kompeni yang dipimpinnya dan Kompeni A tiba di  Komtek FELDA Sahabat 16 kira-kira jam 9.30 pagi pada 13 Feb tahun lepas dan terus dalam keadaan bersiap sedia di sana sehingga mereka diarah untuk bergerak ke pusat pemeriksaan 1 di Kampung Tanduo kira-kira jam 4 petang hari itu.

Pada pagi berikut, beliau berkata mereka bergerak ke sebuah rumah setinggan di Kampung Tanduo dan terus berada dalam keadaan bersiap sedia di sana sehingga 16 Feb tahun lepas.

Pada 17 Feb tahun lepas, Shogghirajan berkata Asisten Pegawai Pemerintah Batalion ke-17 PGA, DSP Syed Ahmad Tajuddin datang ke rumah setinggan itu dan mengarahkan Kompeni A dan C membentuk kepungan baharu di satu kawasan di  Kampung Tanduo. — Bernama

Advertisement