Anda di sini

JBPM sasar lebih ramai kanak-kanak sertai aktiviti 3K

Advertisement

Oleh Henrietta Liza //

SELAMAT DATANG: Fatimah (kiri) disambut dengan salaman mesra daripada peserta yang juga kanak-kanak prasekolah di kawasan Petra Jaya baru-baru ini.

JABATAN Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menetapkan sasaran untuk melibatkan lebih ramai kanak-kanak di peringkat prasekolah agar diberi pendedahan awal berhubung kesedaran keselamatan kebakaran di premis dan tempat kediaman.

Justeru itu, seramai 262 orang kanak-kanak bersama 48 orang guru daripada 33 buah taska dan tadika seluruh kawasan Petra Jaya telah menghadiri Majlis Graduasi Kelab 3K di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya baru-baru ini.

Menurut Timbalan Pengarah JBPM, Penolong Pesuruhjaya Bomba Mohd Ali Bahrudin pelaksanaan aktiviti 3K adalah pendedahan bagi kanak-kanak bagaimana untuk melindungi nyawa dan harta benda daripada risiko kebakaran.

Katanya juga, aktiviti Kelab 3K yang telah diperkenalkan JBPM merupakan pendidikan yang sewajarnya diberikan dalam membentuk sebuah masyarakat yang mengamalkan budaya keselamatan kebakaran.

Kelab 3K ujarnya lagi, satu program pembelajaran dan kesedaran awam yang dikendalikan JBPM seluruh negara yang ditujukan kepada golongan kanak-kanak.

Justeru ia menjadi harapan agar program sedemikian akan digunakan untuk memupuk pengetahuan dan kefahaman asas tentang keselamatan kebakaran kepada kanak-kanak yang bakal menempuh alam persekolahan.

Selain Kelab 3K, program kesedaran keselamatan kebakaran yang lain yang diadakan oleh JBPM adalah seperti Kadet Bomba di sekolah rendah dan menengah, pasukan bomba di IPTA dan diikuti Pasukan Bomba Sukerala dan Pasukan Tindakan Kecemasan (ERT).

Menyedari anak-anak merupakan aset negara dan seharusnya selalu berada dalam keadaan berwaspada untuk memastikan anak-anak sentiasa selamat daripada bencana kebakaran, sekali gus menentukan kesinambungan generasi akan datang.

Pada majlis itu turut diadakan pameran kenderaan operasi pemadaman api dan pameran pelbagai agensi kerajaan.

Majlis telah dirasmikan oleh Setiausaha Politik di Pejabat Ketua Menteri, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Samariang, Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali.

Turut hadir sama adalah Menteri Kebajikan Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah dan Ketua Zon Kuching, Penguasa Kanan Bomba 1 Tiong Ling Hii.

RASMI: Sharifah menekan butang sebagai tanda perasmian majlis tersebut.

SYABAS: Para ahli Kelab 3K sewaktu Majlis Graduasi Kelab 3K di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya baru-baru ini.

Advertisement