Anda di sini

IPTS belum sedia laksana kenaikan gred MUET: TPM

Advertisement

KUALA LUMPUR: Institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) belum bersedia untuk melaksanakan peningkatan gred Malaysia University English Test (MUET) untuk syarat kemasukan ke universiti.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata walaupun pada dasarnya kerajaan mahu menyeragamkan kenaikan syarat kemasukan itu, namun kesediaan institusi swasta perlu diambil kira.

“Pada dasarnya saya bersetuju, sepatutnya memang diseragamkan…tetapi ini adalah inisiatif besar yang kita mulakan di peringkat kerajaan dan kita laksanakan di IPTA dahulu,” katanya semasa menjawab soalan Datuk Noraini Ahmad (BN-Parit Sulong) di Dewan Rakyat semalam.

Noraini ingin tahu sama ada kementerian bercadang untuk menyeragamkan syarat kenaikan gred MUET antara IPTA dan IPTS.

Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan berkata kerajaan sedang mengadakan perbincangan dengan IPTS mengenai syarat yang dicadangkan itu.

Dalam pembentangan Bajet 2015, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan untuk menaikkan gred MUET bagi kemasukan ke IPTA mulai tahun depan.

Ketika ini, syarat kemasukan am memerlukan pelajar mencapai tahap minimum MUET Band 1. Mulai tahun depan untuk kemasukan IPTA, tahap minimum band MUET ditingkatkan mengikut bidang, seperti Pengajian Sastera dan Sains Sosial, Band 2, Pengajian Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), Band 3 dan Band 4 bagi Pengajian Undang-undang dan Perubatan

Syarat untuk graduan pula ialah pelajar wajib mencapai Pengajian Sastera dan Sains Sosial – Band 3, Pengajian STEM – Band 4 dan Pengajian Undang-undang dan Perubatan – Band 5.

Muhyiddin berkata usaha yang dibuat ialah bagi meningkatkan kemahiran graduan berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris.

“Kita akan melihat bagaimana proses ini berjalan, kerana banyak perkara yang perlu kita ambil kira…pada peringkat awal kita hendak lihat keberkesanan yang kita laksanakan di IPTA,” katanya.

Muhyiddin turut berkata demi kecemerlangan berterusan dalam proses pembelajaran Bahasa Inggeris, kementerian perlu melatih semula guru-guru walaupun telah mencapai tahap standard dan diiktiraf di peringkat global.

Menurutnya pemantauan berkala terhadap guru-guru ini perlu supaya setara dengan standard yang ditetapkan selain menjamin kejayaan pelajar melalui peperiksaan awal atau ujian yang dijalankan di sekolah.

“Kita sentiasa memantau pencapaian mereka demi meningkatkan kualiti pembelajaran sewaktu sesi di bilik darjah mahu pun kursus yang disertai guru-guru.

Ketika menjawab soalan Tan Seng Giaw (DAP-Kepong) berkenaan usaha meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris guru-guru, Muhyiddin berkata program pemantapan tahap pengajaran Inggeris (Pro-ELT) sudah dilaksanakan membabitkan 5,010 guru, tahun lalu.

Daripada jumlah itu, katanya, 76.4 peratus berjaya meningkatkan tahap profesiensi mereka sekurang-kurangnya satu Band.

Menurutnya, pada masa ini, sebanyak 9,002 orang guru sedang menjalani kursus berkenaan yang dijangka tamat April tahun depan. — Bernama

Advertisement