Anda di sini

Ahli Parlimen perlu terap budaya banyak mendengar, kata Pandikar

Advertisement

KUNJUNGAN: Tan Sri Pandikar menerima kunjungan hormat daripada Ahli Parlimen Switzerland, Anreas Gross di Pejabatnya di Parlimen di Kuala Lumpur, semalam. — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Malaysia perlu menerapkan budaya banyak mendengar pada persidangan Dewan Rakyat, kata Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Menurutnya, perkara itu adalah sebahagian daripada inti pati perbincangannya dengan anggota Perhimpunan Parlimen Majlis Eropah dari Switzerland, Andreas Gross, yang mengunjunginya di pejabat beliau di Bangunan Parlimen, di sini semalam.

Gross yang juga ahli akademik memaklumkan budaya itu adalah contoh demokrasi matang dan Pandikar Amin berpendapat ia perlu dipelajari oleh ahli Parlimen Malaysia.

“Beliau berkata kepada saya, kalau boleh dalam demokrasi ini jangan hanya banyak bercakap tetapi mesti juga banyak mendengar.

“Secara berseloroh saya kata kepada beliau, di Parlimen Malaysia lebih banyak yang bercakap kurang yang mendengar sebab itu apabila mereka berdiri sehingga 20 ke 30 orang bercakap serentak. Jadi apabila seorang bercakap yang lain mesti mendengar,” katanya kepada pemberita selepas kunjungan itu.

Gross yang dalam rangka lawatan enam hari di Malaysia mulai Ahad, turut mengadakan pertemuan dengan Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar Ujang pada Isnin. — Bernama

Advertisement