Anda di sini

39 rakyat Malaysia terlibat gerakan militan: Ahmad Zahid

Advertisement

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenal pasti 39 rakyat Malaysia termasuk seorang wanita yang dikaitkan dengan gerakan militan seperti Kumpulan Negara Islam Iraq dan Syria (ISIS).

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata bagaimanapun setakat ini polis belum dapat mengesahkan pembabitan mana-mana individu berkenaan dalam aktiviti Jihad Al-Nikah.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan Lim Lip Eng (DAP-Segambut) mengenai perkara itu pada persidangan Dewan Rakyat semalam.

Jihad Al-Nikah atau jihad seksual merujuk kepada konsep kontroversi iaitu wanita dikatakan menawarkan diri mereka untuk memenuhi keperluan seksual militan.

Ahmad Zahid berkata sekiranya terdapat bukti yang kukuh berhubung penglibatan mereka dalam aktiviti gerakan militan, kerajaan akan mengambil tindakan berdasarkan undang-undang sedia ada.

Ini termasuk Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012, Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001, Kanun Keseksaan dan Akta Pertubuhan 1966.

“Kerajaan tidak pernah mengiktiraf mana-mana entiti, pertubuhan atau pakatan yang terlibat dengan elemen militan di dalam atau luar negara,” tegas Ahmad Zahid. — Bernama

Advertisement