Anda di sini

13 individu ditahan sedang bersiap sedia untuk sertai IS

Advertisement

Polis turut mengenal pasti beberapa individu merekrut

PELANCARAN: Khalid (depan tengah) menyampaikan replika telefon pintar kepada Adlene (depan kanan) sebagai gimik pelancaran majlis Pelancaran Kolaborasi Strategik Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama My Teksi di Bukit Aman di Kuala Lumpur, semalam. — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Polis menahan 13 individu yang dipercayai dalam persiapan untuk menyertai kumpulan militan Negara Islam (IS), di sebuah kedai makan, di Shah Alam, kelmarin.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata mereka yang ditahan itu terdiri daripada pelajar, pekerja buruh dan pekerja kilang.

Kesemua mereka disiasat mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

“Mereka ditahan berdasarkan pemantauan polis kerana dipercayai sedang bersiap sedia untuk pergi ke Syria melalui Turki,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kolaborasi Strategik Polis Diraja Malaysia bersama MyTeksi.

Beliau berkata, polis turut mengenal pasti beberapa individu yang bertanggungjawab merekrut semua individu itu namun enggan mendedahkan dalangnya kerana ia masih dalam siasatan.

“Kita kesan mereka melalui laman sosial seperti Facebook di Internet, jadi mereka ini kebanyakannya pergi ke sana secara bersendirian dengan biaya sendiri,” kata Khalid.

Beliau berkata polis juga telah memaklumkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk menutup laman-laman web seperti Facebook yang dipercayai terlibat dengan kumpulan militan di Syria.

Setakat ini, 22 rakyat Malaysia termasuk tiga wanita dikesan berada di Syria menyertai kumpulan militan manakala 23 individu lagi ditahan selepas dipercayai terbabit dengan kumpulan militan.

Sejak polis mengesan pembabitan rakyat Malaysia dalam perjuangan militan di negara Syria yang bergolak itu, lima orang telah terbunuh dan enam cedera.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, ketika ditanya berhubung sindiket menggodam mesin juruwang automatik (ATM), Khalid berkata polis sentiasa bekerjasama rapat dengan Polis Antarabangsa (Interpol) sekiranya kumpulan itu melarikan diri ke luar negara.

“Biarlah polis siasat perkara ini terlebih dahulu, sama ada mereka yang terlibat masih dalam negara atau di luar negara” katanya.

Sindiket yang dipercayai terdiri daripada warga Amerika Latin menggodam 17 mesin ATM di Selangor, Johor dan Melaka membabitkan kerugian hampir RM3 juta, bulan lepas.

Kumpulan itu dipercayai menggodam sistem ATM menggunakan sim kad telefon dan teknologi telefon canggih tetapi tiada pemilik akaun dilaporkan kehilangan wang mereka.

Berhubung serangan bom tangan di depan sebuah kelab malam, Sun Complex, Bukit Bintang, Khamis lepas, Khalid berkata polis sudah mengenal pasti kumpulan yang terlibat.

“Saya enggan mengulas lanjut tetapi apa yang boleh saya katakan, masih ada beberapa saksi yang dipanggil untuk membantu siasatan,” katanya.

Pada 9 Okt lepas, seorang joki kereta, Tiong Kwong Yie, 36, maut dan 12 yang lain cedera termasuk pelancong asing, dalam serangan bom tangan dipercayai melibatkan perebutan kawasan kumpulan kongsi gelap di hadapan sebuah kelab malam, Sun Complex, Bukit Bintang. — Bernama

Advertisement