Anda di sini

Wanita agresif ditahan polis

Advertisement

DITAHAN: Wanita berkenaan dibawa ke Balai Polis Sentral selepas dia dikatakan bertindak agresif gara-gara kemalangan.

KUCHING: Polis terpaksa menahan seorang wanita yang bertindak agresif selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya di Jalan Carpenter di sini, awal pagi semalam.

Wanita berusia 20 tahun berasal dari Matang itu terdahulu dikatakan gagal mengawal kereta Honda Odyssey yang dipandunya sehingga ia terbabas dan melanggar tiang lampu sekitar jam 3 pagi.

Orang awam yang menyedari insiden tersebut segera membantu wanita terbabit.

“Bagaimanapun keadaan menjadi tegang apabila wanita berkenaan mula bertindak agresif menyebabkan mereka (orang awam) terpaksa menghubungi pihak polis dan ambulans untuk bantuan.

“Anggota polis yang tiba di tempat kejadian juga dikatakan dikasari oleh wanita berkenaan menyebabkan pihak polis terpaksa menggarinya dan membawanya ke balai polis berhampiran,” kata sumber.

Difahamkan, wanita terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kemalangan itu.

Beberapa penduduk di kawasan berkenaan diketuai Kapitan Lim Chuan Chan terpaksa berjaga semalaman menjaga lalu lintas ekoran tiang lampu yang tumbang akibat kemalangan itu.

Advertisement