Anda di sini

Syarikat pembinaan didenda RM35,000 ingkar tutup premis

Advertisement

KUALA LUMPUR: Syarikat pembinaan Maran Econ Build Sdn Bhd semalam didenda RM35,000 oleh Mahkamah Majistret di sini kerana mengingkari perintah penutupan premis yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan (KKM) berhubung pemusnahan tempat pembiakan nyamuk aedes.

Majistret Zura Syazween Hamizan menjatuhkan hukuman denda itu terhadap syarikat berkenaan selepas pengarahnya, yang namanya tidak didedahkan, mengaku bersalah atas pertuduhan itu.

Zura Syazween menjatuhkan hukuman denda RM8,500 dan denda tambahan RM500 setiap hari bermula 23 Ogos lepas sehingga semalam.

Mahkamah juga memerintahkan wakil syarikat berkenaan dipenjara lapan bulan jika gagal membayar denda itu.

Mengikut pertuduhan, syarikat tersebut didapati mengingkari perintah penutupan premis yang dikeluarkan Penolong Pegawai Kesihatan Mohd Asri Muda bertarikh 23 Ogos 2014 di premis tapak binaan di Lot 28368, Jalan 24/26, Seksyen 10, Wangsa Maju di sini pada jam 10.25 pagi 28 Ogos lepas.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 8(8) dibaca bersama Seksyen 8(3)(aa) Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 (Pindaan 2000) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 23(a) akta sama yang membawa hukuman tidak melebihi RM10,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, hasil pemantauan pegawai Pejabat Kesihatan Titiwangsa Shumizan Siron mendapati kerja pembinaan di tapak berkenaan tidak mematuhi perintah penutupan premis yang dikeluarkan kepada kontraktor tapak pembinaan itu pada 23 Ogos lepas, bagi menjalankan kerja-kerja pemusnahan tempat pembiakan nyamuk aedes.

Pendakwaan dikendalikan Ketua Unit Inspektorat dan Perundangan KKM Ideris Mohamed manakala syarikat itu diwakili R.Rameswaran. — Bernama

Advertisement