Anda di sini

Saingan yang lebih mencabar

Advertisement

Oleh Harry Ilias

TROFI CABARAN: Abdul Wahap (empat kiri) dan Kartina memperagakan Trofi Cabaran Datuk Bandar dan banner Cabaran XC Berbasikal Bukit Siol bersama penganjur dan wakil penaja di Kuching semalam.

KUCHING: Penganjur Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) menjanjikan saingan lebih mencabar pada Cabaran XC Berbasikal Bukit Siol ke-11 yang bakal berlangsung di Kaki Bukit Siol, Jalan Semariang di sinin pada 1 November depan.

Datuk Bandar DBKU, Datuk Abdul Wahap Abang Julai berkata sejumlah RM38,450 hadiah wang tunai dipertaruhkan sebagai rebutan seramai 250 pelumba terbaik dari seluruh negara yang mengesahkan penyertaan pada edisi kali ini.

“Cabaran merentas desa (XC) sejauh empat kilometer sedikit berbeza dengan laluannya telah berubah,” katanya pada sidang media di Kompleks Islam Sarawak di sini semalam.

Menariknya, edisi kali ini menawarkan hadiah wang tunai antara yang tertinggi dalam sejarah perlumbaan berbasikal bukit di Malaysia berjumlah keseluruhan RM38,450.

“Selain itu, kita juga berharap saingan kali ini dapat melahirkan pelumba-pelumba tempatan berpotensi mewakili Sarawak di peringkat lebih tinggi,” katanya sambil memberitahu acara tahunan itu menjadi landasan mempromosikan Bukit Siol sebagai venue Sukan Malaysia (SUKMA) yang akan diadakan di sini pada 2016.

Hadir sama Timbalan Pengarah DBKU Kartina Zamhari, Pengurus Kejohanan Zeed Sdn Bhd, Abdul Hakim Hossen termasuk wakil penaja DiGi, Giant dan Thong Sen Cycle.

Abdul Wahap menjelaskan, pihaknya telah menghantar jemputan kepada semua persatuan dan kelab berbasikal di seluruh negara dan setakat ini telah menarik minat pelumba dari Brunei, Sabah, Melaka, Selangor, Perak dan Kedah.

Manakala wakil tempatan yang dijangka turut serta adalah Team Saxson, Sonamu, Corbusier, Viking dan OMG Wanderers.

DBKU turut memperkenal kategori Team Relay pada edisi kali ini dan pelumba akan bersaing bagi merebut Trofi Cabaran Datuk Bandar.

“Bagi kategori ini, setiap pasukan perlu menyenaraikan empat pelumba untuk bersaing dalam acara Terbuka Lelaki, Terbuka Wanita, Lelaki Veteran dan Remaja Lelaki,” jelasnya.

Kategori lain yang turut dipertandingkan termasuk menuruni bukit (Terbuka Lelaki dan Lelaki Master), merentas desa dan ujian masa (Terbuka Lelaki, Terbuka Wanita, Remaja Lelaki dan Lelaki Veteran).

Borang penyertaan boleh didapati di semua kedai basikal di sini dan di Semenanjung Malaysia.

Yuran penyertaan ditetapkan sebanyak RM40 bagi kategori Menuruni Bukit, Ujian Masa (XC) Berbasikal Bukit, Merentas Desa (XC) Berbasikal Bukit dan RM100 bagi kategori Relay Team.

Peserta juga diingatkan agar hadir pada majlis taklimat yang akan diadakan pada 31 Oktober ini mulai jam 9 pagi hingga 5 petang di Ibu Pejabat DBKU, Bukit Siol di sini.

Untuk maklumat lanjut sila hubungi Shareena Salleh atau Noraini Karim Abdillah di talian 082-446688.

Advertisement