Anda di sini

Punca diesel diseludup keluar kerana harganya yang murah

Advertisement

KUALA LUMPUR: Harga diesel yang murah di negara ini merupakan satu daripada punca bahan api berkenaan diseludup ke negara luar untuk diniagakan, Dewan Rakyat diberitahu semalam.

Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim berkata perkara itu adalah satu hakikat yang perlu diterima dan menjadi cabaran terbesar bagi kerajaan membanteras kegiatan itu.

“Itu satu daripada penyebab dan kita terpaksa menerima hakikat kerana hal ini, buat apa jua cara pun maka ada pihak-pihak yang berniaga atas kemurahan kerajaan,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Johari Abdul (PKR-Sungai Petani) yang mahu kerajaan mengambil langkah agresif membendung kegiatan penyeludupan diesel di sempadan perairan negara.

Justeru, Razali berkata kerajaan sentiasa memandang serius dengan melaksanakan langkah agresif memerangi kegiatan ini dengan penubuhan pasukan petugas dengan kerjasama beberapa jabatan termasuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bagi memastikan rakyat terus menikmati diesel dengan harga rendah.

“Kita akan sentiasa melaksanakan mekanisme pengeluaran dan mengawal jika terdapat ruang-ruang terbuka yang membolehkan penduduk menyeludup bahan ini untuk diniagakan di luar,” katanya.

Menjawab soalan asal Datuk Seri Azalina Othman Said (BN-Pengerang) yang ingin tahu langkah-langkah keselamatan yang dirangka APMM untuk memerangi aktiviti penyeludupan diesel seperti yang berlaku di Parlimen Pengerang dengan nilai rampasan yang agak tinggi, Razali berkata:

“Satu pangkalan APMM diwujudkan di Tanjung Pengelih dengan kekuatan 34 anggota, sebuah kapal dan dua buah bot Petir bagi mengawal kegiatan penyeludupan di perairan sekitar Mersing dan Sedili,” katanya.

Razali juga berkata satu program Sahabat Maritim juga diwujudkan bagi memberi ruang kepada penduduk atau orang awam berkongsi maklumat mengenai kegiatan penyeludupan minyak dengan pihak berkuasa. — Bernama

Selain itu, 3,715 kapal dagang di sekitar perairan Johor juga dipantau dan tindakan diambil sekiranya terdapat sebarang kesangsian. — Bernama

Advertisement