Anda di sini

Polis tahan dua individu, rampas dadah RM2.76 juta

Advertisement

IPOH: Polis menahan dua individu termasuk seorang warga asing serta merampas dadah jenis methamphetamine seberat 32.8 kilogram yang dianggarkan bernilai RM2.76 juta di sini, Ahad lepas.

Timbalan Ketua Polis Perak Datuk A. Paramasivam berkata dadah berkenaan ditemui di sebuah banglo satu tingkat yang menjalankan perusahaan katering di Taman Lim di sini.

Beliau berkata hasil siasatan mendapati rumah berkenaan dijadikan makmal dadah sejak enam bulan lepas.

“Hasil serbuan di rumah yang tidak berpenghuni itu membawa kepada penangkapan kedua-dua suspek di sekitar Ipoh pada hari yang sama,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di sini, semalam.

Beliau berkata suspek warga tempatan yang bekerja sebagai pengusaha katering berusia 42 tahun manakala warga asing itu berusia 34 tahun dan tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

“Dalam serbuan itu juga, kita turut merampas sebuah van, dua motosikal, wang tunai dan barang kemas bernilai RM35,200,” katanya.

Paramasivam berkata kedua-dua suspek tidak mempunyai rekod jenayah dan ujian air kencing mendapati mereka tidak terlibat dalam penyalahgunaan dadah.

Beliau tidak menolak kemungkinan kes berkenaan melibatkan satu sindiket pengedaran dadah, namun siasatan lanjut masih dijalankan.

Katanya dadah yang dirampas itu boleh digunakan oleh 32,000 orang dan kedua-dua suspek direman sehingga Ahad ini untuk siasatan lanjut.

Beliau berkata kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan. — Bernama

Advertisement