Anda di sini

Penyambut tetamu hotel hadapi 22 tuduhan menipu di mahkamah

Advertisement

JOHOR BAHARU: Seorang penyambut tetamu hotel mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini semalam atas 22 tuduhan menipu beberapa individu membabitkan wang berjumlah RM16,350 antara Ogos 2012 dan bulan lepas.

Mohamad Shazwan Suhaimi, 30, berasal dari Ampang, Selangor, didakwa memperdaya 17 individu terbabit secara berasingan dengan menyerahkan wang tunai antara RM200 dan RM1,600 setiap seorang kepadanya di beberapa premis di sekitar bandar raya ini antara 1 Ogos 2012 dan 26 Sept lepas.

Kesemua wang yang diserahkan kepadanya itu adalah bagi pelbagai tujuan termasuk kononnya mengutip sumbangan bagi mengadakan kempen cegah jenayah, menolong mendapatkan pekerjaan sebagai polis serta pembelian motosikal lelong daripada pihak polis.

Mohamad Shazwan didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun dan dengan sebat dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Dzul Iswari Mohd Jaafar memohon wang jaminan dikenakan sebanyak RM71,000 bagi kesemua pertuduhan itu.

Majistret Salina Omar kemudian menetapkan wang jaminan RM17,500 dengan seorang penjamin untuk kesemua pertuduhan itu selepas mendengar rayuan tertuduh yang diwakili peguam Datin Freda Sabapathy.

Salina turut menetapkan 17 Nov ini untuk sebutan semula kes. — Bernama

Advertisement