Anda di sini

Organ seorang untuk 40 individu

Advertisement

PUTRAJAYA: Keseluruhan organ dan tisu yang didermakan seseorang selepas meninggal dunia, boleh memberi manfaat kepada 30 hingga 40 individu yang memerlukan, kata Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya.

Beliau berkata antara organ dan tisu yang boleh didermakan seseorang adalah kornea, buah pinggang, paru-paru, tulang dan kulit.

Namun, katanya tahap kesedaran mengenai pendermaan organ dalam kalangan rakyat Malaysia perlu dipertingkatkan khususnya dalam kalangan orang Melayu.

“Kita berharap orang ramai mendapat kefahaman meluas mengenai hal ini supaya lebih ramai yang tampil menderma,” katanya kepada pemberita pada Forum Pendermaan Organ dari Perspektif Islam di sini, semalam.

Forum anjuran Kementerian Kesihatan dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dan Institut Kemajuan Islam Malaysia diadakan sempena sambutan Minggu Kesedaran Pendermaan Organ Peringkat Kebangsaan 2014, yang bertujuan memberi kesedaran kepada pelbagai pihak mengenai pendermaan organ.

Statistik Unit Perkhidmatan Transplantasi Kementerian Kesihatan menunjukkan sehingga 30 Sept lepas, sebanyak 266,583 rakyat Malaysia berikrar menderma organ selepas kematian mereka.

Daripada jumlah itu, sebanyak 131,567 orang ialah pengikrar Cina, 62,937 pengikrar India, 62,318 pengikrar Melayu dan selebihnya adalah kaum-kaum lain.

Sehingga 30 Sept lepas, jumlah penderma organ dan tisu kadaverik (pen-derma selepas kematian) ialah 482 orang iaitu Cina (284 orang),India (130 orang), Melayu (28 orang) dan bangsa lain 40 orang.

Jumlah pesakit yang me-nunggu untuk mendapatkan organ di Malaysia sehingga 30 Sept lepas ialah 18,493 orang iaitu 18,418 orang yang memerlukan buah pinggang, 12 orang termasuk lima kanak-kanak memerlukan hati, lima orang memerlukan jantung, enam orang memerlukan paru-paru manakala tiga lagi pesakit memerlukan jantung dan paru-paru.

Dr Hilmi berkata lebih banyak pakar akan dilatih untuk menjalankan pembedahan pemindahan organ memandangkan pada masa ini, hanya beberapa hospital sahaja yang terlibat dalam prosedur itu termasuk Hospital Kuala Lumpur, Hospital Selayang dan Institut Jantung Negara.

Sementara itu, Ketua Pengurus Pusat Sumber Transplan Nasional Datin Dr Fadhilah Zowyah Lela Yasin Mansor berkata pihaknya mahu menjadikan pender-maan organ sebagai satu budaya, sesuatu yang normal dan tidak menakutkan.

“Buat masa ini apa yang menyebabkan orang tidak berdaftar atau keluarga tidak benarkan adalah kerana bimbang ia pelik dan tidak biasa dilakukan. Perkara ini perlu dibincangkan,” kata beliau.

Menurutnya pendermaan organ bukan sahaja memberi manfaat kepada penerima, tetapi juga menyumbang kepada kesejahteraan keluarga, masyarakat dan negara.

Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia pada 1970 memutuskan hukum pemindahan dan pendermaan organ adalah harus. — Bernama

Advertisement