Anda di sini

Lapor polis sekiranya tahu laman sosial galak militan

Advertisement

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) meminta orang ramai melaporkan kepada pihak berkuasa tentang mana-mana akaun laman sosial yang memperjuangkan kegiatan militan atau keganasan di negara ini.

Pengarah Kanan Komunikasi Strategiknya, Sheikh Raffie Abd Rahman berkata selain menjadi pelapor kepada agensi berkenaan, orang ramai khususnya ibu bapa juga perlu berwaspada dan memantau sebarang perubahan dalam kelakuan dan aktiviti anak-anak mereka dalam talian (online).

“Pihak kami (SKMM) sentiasa bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam kes-kes seperti ini (militan) bagi membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, semalam.

Semalam, Bernama melaporkan kumpulan militan di negara bergolak Syria kini bukan sahaja merekrut gadis Malaysia malah cuba merekrut pelajar sekolah bagi tujuan ‘jihad’ di negara itu.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas Bukit Aman SAC Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, mereka menjalankan kegiatan itu hanya melalui Facebook dan menyasarkan pelajar sekolah serta remaja wanita.

Menjelas lanjut, Sheikh Raffie berkata Facebook hanyalah satu daripada platform yang mungkin digunakan kumpulan ini untuk merekrut anggota selain daripada platform media sosial lain.

“Bagaimanapun, buat masa ini saya difahamkan ada laman-laman atau akaun-akaun yang telah dikeluarkan atau ditutup oleh Facebook, kerana disyaki cuba membawa fahaman militan dan seterusnya memperjuangkan aktiviti militan,” katanya.

Setakat ini, sebanyak 22 rakyat Malaysia termasuk tiga wanita dikesan berada di Syria menyertai kumpulan militan manakala 23 individu lagi telah ditahan selepas dipercayai terbabit dengan kumpulan militan.

Sejak polis mengesan penglibatan rakyat Malaysia dalam perjuangan militan di negara Syria yang bergolak itu, seramai lima orang telah terbunuh dan enam cedera.

Ahad lepas, polis mengesahkan seorang wanita yang juga bekas pelajar Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) telah berlepas ke Syria pada 4 Okt untuk menyertai Islamic State (IS). — Bernama

Advertisement