Anda di sini

Kraf tangan siput Dayang Sosita semakin dikenali

Advertisement

Oleh Jessica Jawing

 

CANTIK: Antara hasil kraf tangan siput yang dibuat sendiri oleh Dayang Sosita.

MESKIPUN hanya menuntut sehingga Tingkatan 3, Dayang Sosita Awang Matdeli@Suria kini berjaya menjadi usahawan industri desa dalam pembuatan kraf tangan daripada cangkerang siput.

Malah beliau kini mempunyai bengkel sendiri iaitu ‘Sematan Siput’ di Kampung Tanah Hitam Sematan, yang semakin dikenali di kalangan penduduk setempat ataupun dari luar Sematan.

Kemahiran membuat kraf tangan itu diwarisi daripada ibunya dan beliau kini mampu menghasilkan pelbagai produk daripada cangkerang siput hasil ilham sendiri untuk dijual ke pelbagai pasaran.

Menceritakan kisahnya mula terlibat dalam bidang itu Dayang Sosita, 43, berkata beliau juga berhasrat mendapatkan pendidikan sama seperti kanak-kanak sebayanya ketika itu.

Bagaimanapun disebabkan ramai adik beradik yang mahu bersekolah dan dengan pendapatan keluarganya yang tidak seberapa, Dayang Sosita kemudian terpaksa melupakan hasrat untuk belajar dan menyambung kemahiran kraf tangan ibunya.

“Bagaimanapun saya bersyukur kerana hari ini saya dapat menghasilkan pelbagai produk kraf tangan siput hasil idea saya sendiri.

“Saya kemudian mula mempelbagaikan produk daripada hiasan biasa atau yang lebih konvensional kepada pelbagai kraf tangan siput untuk semua lapisan masyarakat.

“Selain itu ada juga pembeli yang datang sendiri ke bengkel saya dan meminta untuk membuat kraf tangan mengikut kehendak mereka,” katanya sambil memberitahu, beliau sentiasa mengikuti program Satu Daerah Satu Industri (SDSI) dalam mempromosikan kraf tangannya.

Dayang Sosita berkata demikian ketika ditemui Utusan Borneo baru-baru ini sempena Promosi Kraf Malaysia 2014 yang diadakan di Tebingan Kuching pada 29 Ogos hingga 7 September lepas.

Beliau adalah antara 81 orang usahawan yang dipilih menyertai program anjuran Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Sarawak yang bermatlamat untuk memperkenalkan produk usahawan.

Daripada 81 usahawan itu, seramai 55 usahawan adalah dari Sarawak, 12 usahawan dari Kelantan, tiga (Melaka), empat (Selangor), lima (Sabah) dan dua (Perlis).

Dayang Sosita memberitahu, malah beliau mendapat tempahan daripada pemborong yang sudah mengenali produknya dan dijual ke pasaran luar.

“Saya selalunya mengambil masa kira-kira empat atau lima hari untuk menghasilkan satu-satu produk bergantung kepada jenis yang dimahukan oleh pelanggan.

“Dari segi mendapatkan bahan-bahan kraf atau cangkerang siput, saya mempunyai sumber daripada orang kampung sendiri tetapi kadang kala saya akan turun sendiri kerana lebih senang untuk saya memilih cangkerang siput yang senang untuk dibuat kraf tangan,” jelasnya.

Bagi meneruskan kesinambungan kemahiran keluarganya itu kini anak bongsu Dayang Sosita turut berminat dan mula berjinak dalam bidang berkenaan mesikpun baharu berusia 10 tahun.

Beliau berkata, anaknya itu sudah mula membantunya dalam menghasilkan sendiri apa yang difikirkannya atau lebih kepada kraf tangan yang diminati oleh rakan-rakan sebayanya.

“Dia sudah mula membantu saya sejak kecil lagi, antara lain dia juga membantu saya mewarnakan cangkerang siput sebagai permulaan.

“Namun kini dia sudah mula berjinak dalam menghasilkan sendiri kraf tangan yang dimahukan rakan-rakan sebayanya,” kata Dayang Sosita.

KREATIF: Dayang Sosita menunjukkan hasil kraf tangan menarik yang dibuatnya hasil ilham sendiri daripada cangkerang siput ketika ditemui Utusan Borneo bersempena Promosi Kraf Malaysia 2014 di Tebingan Kuching baru-baru ini.

Advertisement