Anda di sini

Kos tinggi punca cadangan tubuh Universiti FELDA tidak diteruskan

Advertisement

KUALA LUMPUR: Cadangan penubuhan Universiti FELDA yang pernah disuarakan pada 2007 tidak dapat diteruskan atas faktor kos yang tinggi, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Razali Ibrahim.

Beliau bagaimanapun berkata pihak pengurusan FELDA sentiasa memberi penekanan kepada aspek pembangunan generasi muda FELDA dalam soal pendidikan melalui pelbagai inisiatif termasuk bantuan kewangan dan skim latihan.

“Perbincangan mengenai keperluan mewujudkan Universiti FELDA pernah diadakan tetapi buat masa ini, perbelanjaan menyelia sebuah universiti milik penuh agak tinggi,” katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat semalam.

Beliau menjawab soalan Datuk Abdul Manan Ismail (BN-Paya Besar) mengenai cadangan pembinaan universiti itu ke arah melahirkan kelompok saintis bidang pertanian dan asas tani serta melahirkan golongan profesional yang diiktiraf seluruh dunia.

Razali berkata sepanjang 2013, skim latihan FELDA telah memberi manfaat kepada 2,411 pelajar yang melanjutkan pengajian peringkat sijil kemahiran, diploma dan ijazah.

Selain itu, Skim Pinjaman Pelajaran Tinggi FELDA meluluskan 183 permohonan dengan pinjaman RM3.4 juta bagi tempoh sama manakala Skim Insentif Anak Peneroka pula memberi manfaat kepada 3,040 pelajar dengan pembiayaan RM2.4 juta.

Bilangan itu merangkumi 1,169 di peringkat diploma, 1,833 ijazah dalam negara dan 38 ijazah luar negara. — Bernama

Menjawab soalan tambahan Datuk Takiyuddin Hassan (PAS-Kota Bharu) mengenai ada kursus yang diambil anak FELDA tiada kaitan dengan pertanian, Razali menjelaskan pengurusan FELDA berpendapat tidak semua generasi muda FELDA perlu terus menjadi peneroka dan sebaliknya mereka boleh menceburi bidang baharu.

Beliau menarik perhatian FELDA kini mempunyai aset perhotelan yang menjurus kepada peluang pekerjaan di bidang hospitaliti dan kulinari. — Bernama

Advertisement