Anda di sini

K’jaan komited tarik pelabur ke Sama Jaya

Advertisement

Oleh Nick Fletcher

BERNILAI TINGGI: (Dari kanan) Julaihi, Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Industri Datu Liaw Soon Eng, Pengarah MIDA Sarawak Ruhizam Idris dan Isabel menunjukkan produk ‘wafer’ dan jongkong solar monokristal jenis ‘N’ yang dihasilkan Comtec Solar International (M) Sdn Bhd.

 

KUCHING: Kerajaan negeri komited menarik kemasukan pelabur sama ada dari luar atau dalam negara ke Zon Perindustrian Bebas Sama Jaya, di sini.

Justeru, Menteri Muda Pembangunan Perindustrian (Pelaburan dan Promosi) Datuk Julaihi Narawi berkata kerajaan negeri kini sedang melaksanakan fasa kelima (penambahan) Zon Perindustrian Bebas Sama Jaya yang merangkumi pembangunan 125 hektar tanah dengan infrastruktur asas bagi menampung keperluan serta permintaan industri berteknologi tinggi.

Tambahnya, projek tersebut yang bermula Oktober 2013 dijangka siap menjelang 2015 dengan kos RM71 juta.

“Dengan penambahan keluasan di Zon Perindustrian Bebas Sama Jaya, kita bersedia untuk memenuhi keperluan serta permintaan para pelabur dan menjangkakan ramai pelabur pada masa akan datang,” katanya pada sidang media semasa mengadakan lawatan ke Comtec Solar International (M) Sdn Bhd di Zon Perindustrian Bebas Sama Jaya, semalam.

Menurut Julaihi, setakat ini terdapat 16 pelabur telah bertapak di Zon Perindustrian Bebas Sama Jaya dan telah memberi peluang pekerjaan kepada seramai 7,370 rakyat tempatan dengan nilai pengeluaran suku tahunan sebanyak RM628 juta atau lebih RM2 bilion setahun.

“Pelabur-pelabur adalah dari Jepun, China dan negara-negara luar dan kita berasa bertuah kerana ramai pelabur melihat Sarawak sebagai salah satu daripada kawasan pelaburan yang menarik di negara ini,” katanya.

Mengulas mengenai Comtec Solar yang merupakan pelabur yang baharu bertapak di Zon Perindustrian Bebas Sama Jaya, Julaihi berkata ia secara tidak langsung akan membuka peluang pekerjaan kepada rakyat negeri ini.

“Kemasukan Comtec Solar akan dapat memberi pekerjaan kepada anak-anak tempatan di mana mereka dijangka akan merekrut 400 kakitangan menjelang akhir tahun ini dan seramai 1,300 kakitangan apabila semua fasa pembinaan kilang siap,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Comtec Solar Isabel Kow Seok Foon berkata syarikat amat berbesar hati kerana berpeluang untuk melabur di Sarawak.

“Kami memilih untuk melabur di Sarawak kerana kos elektrik yang rendah dan semua tenaga kerja di sini adalah berpengetahuan dalam bahasa Inggeris maka kami tidak menghadapi masalah untuk melatih mereka,” katanya.

Menjelas lanjut, Isabel berkata Comtec Solar yang beribu pejabat di Zon Perindustrian Nanhui di Shanghai, China dan disenaraikan di Bursa Saham Hong Kong merupakan pembuat utama di dunia bagi ‘wafer’ dan jongkong solar monokristal jenis ‘N’ yang efisien selain terlibat khusus dalam reka bentuk, pembangunan, pembuatan dan penjualan ‘wafer’ solar berkualiti.

Ditubuhkan pada 1999, beliau berkata Comtec Solar menjadi pembuat ‘wafer’ silikon semi konduktor dan sudah memasuki industri ‘wafer’ silikon solar sejak 2004.

“Sejak itu, fokus utama Comtec Solar beralih kepada industri untuk menampung permintaan yang lebih tinggi bagi produk yang berkualiti dan sekarang, produk syarikat telah ditawarkan kepada pekilang utama sel solar di seluruh dunia,” katanya.

Selepas kilang Comtec Solar siap dibina dengan pelaburan sebanyak RM1.2 bilion, ia dijangka menjadi kilang terbesar di dunia yang membuat ‘wafer’ dan jongkong solar monokristal jenis ‘N’ yang efisien.

Setakat ini, Contec Solar juga telah menandatangani Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) selama 10 tahun dengan Sarawak Energy Berhad untuk 15 megawatt tenaga elektrik bagi pengeluaran fasa pertama.

Selain itu, proses ‘Crystal Pulling’ akan dihasilkan pada 300 megawatt manakala proses ‘Slicing’ pada 500 megawatt setahun bagi fasa pertama.

Pengeluaran cubaan produk juga sudah bermula pada Mei tahun ini dan telah mendapat sambutan yang baik daripada pelanggan dari luar negara.

Ini telah membawa kepada pembinaan fasa kedua yang bermula dua minggu lalu dengan ‘Crystal Pulling’ yang dikeluarkan pada 300 megawatt lagi manakala fasa sepenuhnya akan menghasilkan kapasiti satu gigawatt secara keseluruhan.

Tanjakan sepenuhnya akan bermula apabila Permit Kependudukan (OP) dikeluarkan untuk fasa pertama.

Buat masa sekarang, Comtec Solar telah memiliki hampir 100 kakitangan, kesemuanya penduduk tempatan dan dijangka akan merekrut 400 kakitangan menjelang akhir tahun ini dan seramai 1,300 kakitangan tempatan akan diambil bekerja apabila semua fasa pembinaan kilang siap dalam tempoh tiga tahun lagi.

Advertisement