Anda di sini

Keputusan DNA boleh jadi dokumen sokongan permohonan kewarganegaraan

Advertisement

KUALA LUMPUR: Keputusan ujian DNA boleh dijadikan sebagai dokumen sokongan untuk permohonan kewarganegaraan kanak-kanak yang tiada kerakyatan, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Bagaimanapun, Wan Junaidi berkata laporan DNA bukan dokumen mandatori yang diperlukan oleh kementerian untuk mempertimbang permohonan berkenaan dan ia masih tertakluk kepada peruntukan undang-undang di bawah bahagian 3 Perlembagaan Persekutuan.

“Bagi kanak-kanak yang lahir di persekutuan tetapi perkahwinan ibu bapa tidak didaftarkan di bawah undang-undang dan ibunya bukan warganegara Malaysia, maka kanak-kanak itu bukan warganegara Malaysia dan mengikut kewarganegaraan ibunya.

“Jika kanak-kanak lahir di persekutuan dan perkahwinan ibu bapa tidak didaftarkan, tetapi ibunya warganegara Malaysia, maka kanak-kanak itu akan diberikan taraf warganegara Malaysia,” katanya pada Persidangan Dewan Rakyat di sini semalam.

Beliau menjawab soalan Loke Siew Fook (DAP-Seremban) yang ingin mengetahui sama ada kementerian menerima laporan DNA sebagai bukti sokongan untuk kes-kes permohonan kewarganegaraan dalam kalangan kanak-kanak tiada kerakyatan yang bapanya merupakan warganegara.

Wan Junaidi berkata, taraf kewarganegaraan tidak akan ditawar sewenang-wenangnya kepada mana-mana individu kerana ia anugerah tertinggi kerajaan Malaysia dan tertakluk kepada dokumen yang memenuhi syarat undang-undang.

Tambahnya, buat masa ini tiada permohonan kewarganegaraan tertunggak.

Menjawab soalan tambahan Loke mengenai kos ujian DNA di Jabatan Kimia sebanyak RM1,500 yang dilihat terlalu tinggi, Wan Junaidi berkata, kementerian bersedia berbincang dengan Jabatan Kimia untuk mengurangkannya. — Bernama

Advertisement