Anda di sini

Tubuh pasukan petugas khas tangani kes kecurian lori

Advertisement

MIRI: Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sarawak diminta menubuhkan pasukan petugas khas untuk menangani kes kecurian lori yang semakin serius sekarang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau Alan Ling berkata kerjasama polis di sini dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak amat diperlukan bagi membendung gejala berkenaan terus membelenggu pemilik dan pengusaha lori.

Menurutnya, kes kecurian bukan sahaja dilaporkan serius di sini tetapi juga di seluruh negeri ini.

“Beberapa pengusaha dan pemilik menemui saya kelmarin menyatakan bahawa mereka hampir-hampir berputus asa dan tidak mahu meneruskan perniagaan mereka.

“Kami amat mengharapkan bantuan polis menyelesaikan masalah yang mereka alami sekarang,” jelasnya.

Alan memberitahu, pada 7 Oktober lalu beliau menemani lebih 10 pemilik lori menemui Ketua Polis Daerah Miri ACP Gan Tian Kee untuk menyuarakan masalah mereka.

Pertemuan hampir 50 minit itu turut dihadiri Ketua Siasatan Jenayah (CID) DSP Nixon Joshua Ali.

“Saya berterima kasih kepada Gan kerana kerjasama mendengar rintihan dan permasalahan pengusaha lori terbabit.

“Beliau juga berjanji akan melakukan siasatan lanjut kes-kes yang dilaporkan,” katanya.

Advertisement