Anda di sini

TEKUN Nasional anjur Kembara Muda Promosi MAHA 2014

Advertisement

KUCHING: Pameran dwitahunan terulung di rantau ini, Pameran Antarabangsa Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA 2014) akan berlangsung di Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS), Selangor pada 20 hingga 30 November depan.

Justeru bagi mempromosi pameran itu, Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN Nasional) menganjurkan Kembara Muda Promosi MAHA 2014 selama lima hari bermula semalam.

Pengurus Negeri Pejabat TEKUN Sarawak Roslan Ais berkata, kembara berkenaan melibatkan lima lokasi iaitu Maludam, Saratok, Sri Aman, Simunjan dan Serian.

Menurutnya, kembara itu akan diakhiri dengan majlis penutupannya yang bakal dirasmikan oleh Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Pembangunan Usahawan Bumiputera) Datuk Mohd Naroden Majais pada 17 Oktober, jam 8 malam.

“Sebanyak 10 kenderaan melibatkan 36 peserta daripada 12 agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menyertai kembara ini.

“Matlamat utama kami adalah bagi membantu kerajaan mempromosi MAHA 2014 yang akan berlangsung tidak lama lagi dengan harapan dapat mengajak usahawan khasnya daripada golongan belia untuk menyertainya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sebelum melakukan upacara pelepasan Kembara Muda Promosi MAHA 2014 di pejabatnya di sini, pagi semalam.

Roslan menambah, selain mempromosi MAHA 2014 terdapat aktiviti sampingan diadakan iaitu persembahan oleh artis tempatan iaitu Aki Manang dan Mang Jawai, persembahan kebudayaan, pameran serta sukan bersama penduduk.

Selain itu katanya, kembara itu bakal diisi dengan program lawatan ke projek-projek di bawah kementerian di setiap lokasi yang dilalui.

“Sebagai contoh, kami akan singgah di ladang mangga di Maludam dan ‘My Kampung My Future’ di Gedong yang terkenal dengan tanaman ‘rock melon’, cili, nanas dan ladang ternakan lembu dan banyak lagi projek oleh agensi di bawah kementerian sepanjang laluan kembara,” jelasnya.

Oleh itu, Roslan berharap masyarakat khasnya usahawan belia di setiap lokasi dapat hadir dan mengambil bahagian dalam aktiviti sepanjang kembara ini berlangsung.

Maklumat lanjut mengenai Kembara Muda Promosi MAHA 2014 bolehlah menghubungi TEKUN Nasional di talian 082-410972 atau layari www.maha.gov.my.

Advertisement