Anda di sini

Program pendidikan keselamatan jalan raya diperluaskan ke kampung

Advertisement

PAMERAN: Pelatih PLKN mengunjungi pameran keselamatan jalan raya yang disediakan oleh JKJR, Shell dan PUSPAKOM sempena Program Pendidikan RSE di Kem PLKN Permai, Bau semalam.

BAU: Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) akan memperluaskan program pendidikan keselamatan jalan raya ke kawasan kampung dan luar bandar dalam usaha mengurangkan kematian akibat kemalangan jalan raya.

Ketua Pengarah JKJR Malaysia Datuk Dr Tam Weng Wah berkata di Sarawak program itu telah diperkenalkan sejak 2007 di seluruh Kem PLKN di negeri ini.

Sejak pelaksanaannya, modul ini katanya telah memberi impak yang positif dalam mempertingkatkan pengetahuan dan informasi pelatih PLKN mengenai keselamatan diri dan keselamatan pengguna jalan raya yang lain.

“Usaha kita untuk mengurangkan kematian akibat kemalangan jalan raya tidak akan berjaya tanpa sokongan semua pihak termasuk di peringkat komuniti.

“Sebab itu, kita akan memperluaskan program seperti ini di peringkat kampung-kampung termasuk di luar bandar  untuk memastikan keberkesanannya selain di kalangan para pelatih PLKN,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Pendidikan Keselamatan Jalan Raya (RSE) sempena Program Khidmat Komuniti PLKN Peringkat Negeri Sarawak Kumpulan 3 Siri 11/2014 di Kem PLKN Permai di sini semalam.

Mengulas mengenai program tersebut, matlamat utama adalah untuk mengurangkan kematian akibat kemalangan jalan raya menerusi pendedahan awal kepada golongan remaja.

Pelaksanaan program RSE ini juga bertepatan dengan langkah intervensi sebagaiimana yang digariskan pada Tonggak Strategik Ke-4 Pelan Keselamatan Jalan Raya Malaysia 2014-2020 iaitu Pengguna Jalan Raya Yang Selamat.

“Golongan belia pada usia 16 hingga 25 tahun merupakan penyumbang kepada satu pertiga daripada jumlah kematian akibat kemalangan jalan raya.

“Hakikat ini amat menyedihkan kerana ini bermakna negara bukan sahaja mengalami kerugian ekonomi malah turut kehilangan modal insan yang berpotensi untuk menyumbang kepada negara.

“Justeru amatlah bertepatan sekali untuk memupuk kesedaran minda belia dan beliawanis supaya lebih memahami dan menyemai budaya keselamatan jalan raya dan tidak memandang remeh peraturan jalan raya,” katanya.

Pengguna jalan raya perlu bersikap lebih proaktif dan berwaspada dengan sebarang kemungkinan bagi elak kemalangan.

Dalam pada itu program yang dilangsungkan itu semalam turut mendapat kerjasama daripada komandan di lapan Kem PLKN di seluruh Sarawak, Sarawak Shell Berhad dan PUSPAKOM Sarawak.

Sebelum berlangsungnya majlis perasmian, turut diadakan ceramah keselamatan jalan raya oleh penceramah jemputan daripada JKJR, Shell dan PUSPAKOM.

Pihak penganjur turut menyediakan pameran keselamatan jalan raya kepada para pelatih yang menghadiri program itu.

Advertisement