Anda di sini

Perbanyak aktiviti berorientasikan belia di Sarawak

Advertisement

Dekatkan mereka kepada komuniti, perkenal semangat kesukarelaan untuk pembangunan sumber manusia

BERTUAH: Mawan (tengah) menyerahkan hadiah utama cabutan berupa sebuah skuter kepada wakil daripada Pengakap Sarawak semalam.

KUCHING: Lebih banyak aktiviti berorientasikan belia perlu dijalankan di peringkat negeri untuk mendekatkan mereka kepada komuniti selain memperkenalkan semangat kesukarelaan yang baik untuk pembangunan sumber manusia.

Menurut Menteri Pembangunan Sosial Tan Sri William Mawan Ikom pembabitan belia dalam aktiviti berkenaan akan menurunkan kes pembabitan golongan itu dalam masalah sosial atau penyalahgunaan dadah.

“Acara seperti U Are The 1 Youth Carnival 2014 memberi peluang kepada belia sebagai platform untuk menunjukkan bakat terpendam yang ada pada mereka seperti Battle of the Band,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem pada Majlis Penangguhan majlis itu di Padang Merdeka petang kelmarin.

Tambahnya juga, Kementerian Pembangunan Sosial akan sentiasa menyokong badan atau organisasi yang ingin menganjurkan aktiviti rekreasi dan sukan di negeri ini.

Mawan berkata pencarian sukarelawan untuk SUKMA 2016 akan dijalankan oleh kerajaan negeri mulai tahun depan kerana Sarawak merupakan tuan rumah.

Sekiranya terdapat ramai belia yang menjadi sukarelawan maka perjalanan acara sukan kebangsaan berprestij itu akan menunjukkan kerajaan negeri mampu menganjurkannya dengan jayanya.

Karnival itu sebelum ini dirasmikan oleh Menteri Muda Pembangunan Belia Datuk Abdul Karim Hamzah pada 6 Oktober lepas, dianjurkan oleh Kelab Sukan dan Rekreasi 1BFF Pending dengan sokongan Kementerian Pembangunan Sosial.

Sepanjang karnival dijalankan, lebih 30 ruang pameran dibina untuk institusi pengajian tinggi, jabatan kerajaan dan jualan promosi barangan, perkhidmatan, pakaian dan makanan.

Selain carnival, turut dijanlankan ‘Defense of the Ancients (DOTA) 2 Challenge’, ‘Malaysia Yoyo Ultimate Challenge’, ‘Sarawak Youth Band Challenge’ dan ‘Imagine Retrowalk’.

Advertisement