Anda di sini

Miri Autoshow tarik ramai pengunjung

Advertisement

Oleh Connie Sylvia Mesa //

SIMBOLIK: Lee (tengah) bersama tetamu kehormat yang lain melakukan simbolik perasmian sempena Miri Autoshow & Gathering Festival 2014 baru-baru ini.

PEKARANGAN tempat letak kenderaan terbuka di Permy Mall Miri meriah dengan pameran kereta dan motosikal sempena Miri Autoshow & Gathering Festival 2014 yang berlangsung 11 hingga 12 Oktober lalu.

Pameran dan pesta julung kali terbabit disertai oleh 30 kelab di bawah Official Miri Car Club (OMCC).

Menteri Muda Perhubungan Datuk Lee Kim Shin dalam ucapan perasmiannya memuji usaha penganjuran tersebut dalam bersama-sama mengumpul serta menarik masyarakat setempat berkunjung ke bandar raya Miri.

“Ini adalah salah satu usaha bagi mempromosikan Miri sebagai bandar raya peranginan dan membawa pelancong dari dalam dan luar Miri.

“Saya difahamkan sekitar 500 kenderaan dan 100 motosikal berkuasa besar terlibat menjayakan acara ini dan sambutannya amat menggalakkan,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau turut mahu pihak penganjur meneruskan acara terbabit sebagai program tahunan dan menjadikannya salah satu aktiviti terbesar pada tahun depan.

KREATIF: Antara kereta yang diubah suai oleh pemiliknya dan motosikal berkuasa besar yang menyertai Miri Autoshow & Gathering Festival 2014 bermula 11 hingga 12 Oktober lalu.

“Saya mahu mencabar pihak penganjur supaya berusaha dan mencuba menjadikan acara ini lebih besar dan meriah lagi pada tahun yang akan datang.

“Daripada penyertaan 500, jadikannya sehingga 1,000 penglibatan daripada penggemar aktiviti sedemikian bukan sahaja daripada penyertaan dari dalam negara tetapi turut mempelawa mereka di luar kawasan kita termasuk Indonesia.

“Jadikannya sebagai acara di peringkat antarabangsa,” ujarnya.

Lee yang juga Menteri Muda Sukan turut mencadangkan agar penganjur menyelitkan kategori ‘Vintage’ yang mempamerkan

kereta-kereta antik milik persendirian dan juga kategori kenderaan ‘Sport’ yang mempamerkan kereta seperti Ferrari dan Lamborghini.

“Mungkin pada tahun depan, kita boleh mendapatkan kerjasama Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) yang sekali gus mempromosikan Miri yang sentiasa mempunyai acara menarik untuk dikunjungi,” tambahnya.

Selain pameran berkenaan, turut diselitkan program lain seperti pertandingan mewarna kanak-kanak dan pertunjukan fesyen.

Hadir sama pada majlis perasmian ialah Pengurus Besar Kanan Pemasaran dan Jualan Naim Land Sdn Bhd Alive Ting,

Pengurus Kompleks Permy Mall Thadeus Sia, Pengerusi Penganjur Mohammad Yazid dan Presiden Kelab Permotoran Official Senadin Sarif Omar.

KREATIF: Antara kereta yang diubah suai oleh pemiliknya dan motosikal berkuasa besar yang menyertai Miri Autoshow & Gathering Festival 2014 bermula 11 hingga 12 Oktober lalu.

Advertisement