Anda di sini

Masyarakat harus sedar penting jaga harta awam, kata Wahab

Advertisement

SARATOK: Masyarakat harus sedar pentingnya menjaga dan memulihara harta benda awam khususnya berkaitan perkakas keselamatan awam seperti pili bomba.

Menteri Muda Kemajuan Tanah Datuk Abdul Wahab Aziz berkata ketika ini ramai yang tidak ambil peduli tentang pentingnya menjaga kemudahan pili bomba.

“Banyak pili bomba menjadi mangsa vandalisme.

“Masalah ini harus dibendung dan untuk memastikan usaha ini mencapai matlamat, kerjasama semua pihak amat diperlukan.

“Usaha ini amat penting bagi memastikan pili bomba mampu berfungsi dengan baik terutama apabila berlaku kejadian kecemasan.

“Masyarakat harus sedar kemudahan ini diwujudkan untuk menyelamatkan nyawa, bukan sebagai perhiasan di tepi jalan atau di kawasan-kawasan perumahan, kampung serta rumah panjang,” katanya pada Majlis Komuniti Teman Pili Bomba di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Min Syn Saratok, semalam.

Beliau berkata masyarakat seharusnya sedar dan menyedari penyelenggaraan pili bomba penting bagi mengelak kehilangan nyawa dan harta benda.

Justeru, beliau menyokong usaha Jabatan Bomba dan Penyelamat Saratok mewujudkan Teman Pili Bomba dalam usaha memastikan setiap pili bomba berada dalam keadaan baik dan sedia digunakan pada bila-bila masa diperlukan.

“Kerosakan paling biasa adalah disebabkan penyelenggaraan yang tidak betul menyebabkan air tidak keluar ketika proses pemadaman api,” katanya.

Wahab yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka menasihati rakyat agar memainkan peranan mereka membantu bomba memastikan keadaan pili bomba baik di kawasan masing-masing.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba Saratok Mohamad Darul Azreen Md Desa berkata Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) memperkenalkan Program Teman Pili Bomba lebih 20 tahun lalu sebagai salah satu usaha mewujudkan kerjasama erat antara masyarakat setempat dengan JBPM.

“Program ini bertujuan memberi pengetahuan dan kesedaran kepada orang ramai tentang pentingnya penjagaan pili bomba di kawasan masing-masing serta memastikannya berada dalam keadaan baik dan boleh digunakan bila-bila masa.

“Orang ramai menjadi ‘mata’ Jabatan Bomba dan Penyelamat dalam usaha mengekang dan mengurangkan perbuatan mencuri serta merosakkan pili bomba sehingga menyusahkan kerja memadamkan kebakaran,” katanya.

Advertisement