Anda di sini

Kejayaan Yong raih emas banggakan UNIMAS

Advertisement

KUCHING: Pelajar Fakulti Sains Sosial (FSS) Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Yong Mun Yi, 23, mengharumkan nama negara ini apabila berjaya meraih satu pingat emas pada Kejohanan Taekwondo Piala Jogjakarta.

Berasal dari Selangor, Yong berjaya menyumbang satu daripada sepuluh pingat emas yang diraih oleh kontinjen Malaysia menerusi Esta International Invitation Taekwondo Tournament 2014 pada 8 dan 9 Oktober lalu.

Beliau berjaya menumbangkan lawan juga dari kontinjen Malaysia dalam acara ‘sparring’ peringkat akhir bagi kategori berat atas 73 kilogram.

Anak sulung bekas jaguh taekwondo Malaysia, Ang Phaik Min ini bakal mewakili UNIMAS pada temasya Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) pada 4 dan 5 November depan selain pernah mewakili Selangor pada kejohanan Sukan Malaysia (SUKMA) selama dua tahun untuk acara taekwondo.

“Saya tidak menyangka memenangi emas kerana ini merupakan kali pertama saya mewakili negara,” katanya sambil berharap dapat menyumbang pingat buat UNIMAS pada MASUM nanti.

Sebelum itu, Yong berkesempatan menemui Naib Canselor UNIMAS, Profesor Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi dan menceritakan pengalamannya.

Kadim meluahkan rasa bangga UNIMAS atas kejayaan Yong dan berharap boleh dijadikan motivasi dan galakan kepada pelajar lain termasuk staf universiti ini.

Katanya, adalah menjadi impian UNIMAS melahirkan pelajar holistik berjaya bukan sahaja dalam bidang akademik tetapi juga bidang lain seperti sukan.

“Justeru, UNIMAS akan terus memberi sokongan dalam pelbagai cara seperti menyediakan fasiliti dan kemudahan sukan dari semasa ke semasa kepada warga universiti ini,” katanya.

Advertisement