Anda di sini

‘Kaki gim’ giat niaga

Advertisement

Oleh Ghaz Ghazali //

DUTA MUDA: Alrzrin bersama rangkaian produk yang ditawarkan di Kuching Supplements.

MENCEBURI bidang perniagaan yang selari dengan minat atau pengalaman peribadi bukanlah satu fenomena baharu, bahkan ia menjadi asas kepada sebilangan besar perusahaan.

Konsep ini melatari perniagaan dalam talian di mana laman media sosial seperti Facebook, Twitter dan Instagram menjadi pelantar pilihan usahawan muda.

Bagi ‘kaki gim’ Mohacmmed Ghaddafie Zamani, 29, minat mendalam dalam dunia kecergasan mendorong-nya menubuhkan Kuching Supplements, perniagaan makanan tambahan dan produk sukan.

Usahawan ini berkata, mulanya beliau hanya membeli untuk keperluan sendiri.

“Saya memang aktif berolahraga. Pantang sahaja ada masa, saya akan ke gim.

“Atas nasihat beberapa rakan yang juga atlet bina badan, saya mula mengambil makanan tambahan sebagai salah satu rutin gim,” katanya.

“Mulanya saya membeli produk secara dalam talian dari Miri sebelum beralih kepada pembekal dari Kuala Lumpur dan lama-kelamaan, ramai rakan yang membuat pesanan melalui saya.

“Dari situ, timbulnya minat untuk menceburi perniagaan dalam talian, justeru pada 2012, saya menubuhkan perniagaan saya ini,” bapa anak satu ini memberitahu Utusan Borneo baru-baru ini.

Diuruskan di bawah AEM Enterprise, Kuching Supplements kini bero-perasi di dua cawangan masing-masing di Petra Jaya dan Jalan Petanak.

Menurut Ghaddafie, premis pertama dibuka awal Mac lalu dengan modal RM100,000.

PELBAGAI PILIHAN: Di samping makanan tambahan, Kuching Supplements turut menawarkan rangkaian baju-T dan peralatan senaman.

“Saya mengambil masa beberapa bulan untuk mencari tapak sekitar Petra Jaya, termasuk melalui portal pemasaran Mudah.my, akhirnya saya menemui lokasi sesuai berdekatan Kubah Ria.

“Saya bersyukur kerana sambutan terhadap Kuching Supplements amat menggalakkan sehingga saya membuat keputusan untuk mem-buka satu lagi cawangan di Petanak Mei lepas bersebelahan gim Level Up Fitness,” kata beliau.

Keputusan Ghaddafie untuk memiliki kedai fizikal adalah kerana permintaan terhadap produk makanan tambahan yang terlalu banyak sehingga dia tidak mampu menguruskannya secara dalam talian.

“Kami masih menerima pesanan melalui laman Facebook dan Instagram, di mana kami tidak mengenakan caj pos untuk penghantaran sekitar Sarawak.

TAJA ATLET

“Namun dengan adanya kedai fizikal, kami dapat memastikan stok sentiasa mencukupi tanpa terlalu bergantung kepada penghantaran daripada pembekal,” ujar beliau, sambil menambah cawangan ketiga di Kota Sentosa akan dibuka be-berapa hari lagi.

“Kedai ini juga bersebelahan sebuah gim dan semuanya sudah sedia untuk operasi.”

Perkembangan positif ini juga mendorong Ghaddafie untuk menarik dua rakan Druz Shahnarul Datuk Said dan Mohd Kamarulzaman Ramli sebagai rakan kongsi, manakala adiknya Shilya Zulaikha Zamani menjadi pengarah urusan.

“Ada juga yang berpendapat bahawa abang saya bergerak terlalu pantas, namun bagi kami, inilah rezeki.

“Agak sukar untuk memenuhi kehendak para pelanggan sekiranya kami hanya bergantung kepada operasi dalam talian,” tegas Shilya, 27.

SEPAKAT: (Dari kanan) Ghaddafie, Shilya dan Kamarulzaman menyemak senarai pesanan yang diperolehi melalui Facebook.

Menurut beliau lagi, matlamat Kuching Supplements melangkaui skop makanan tambahan semata-mata.

“Dari segi rangkaian produk, kami juga menjual barangan gim seperti baju-T, tali pinggang angkat berat, serta pelapik pelindung tangan dan kaki.

“Jun lalu, kami mengadakan pertandingan Extreme Body Weight yang pertama, di mana 20 peserta melalui pelbagai disiplin senaman yang menggunakan berat badan masing-masing,” katanya.

“Cabaran tersebut juga menjadi pelantar kami untuk meningkatkan kesedaran mengenai cara hidup sihat di kalangan orang ramai, terutamanya golongan belia,” kata Shilya.

Baru-baru ini Kuching Supplements melantik atlet bina badan remaja Mohd Alrzrin Abdul Ghani, peraih pingat gangsa temasya Sukan Malaysia di Kuala Lumpur tahun lepas, sebagai dutanya.

Ghaddafie berkata, pemilihan Alrzrin, 21, sebagai wajah Kuching Supplements adalah berdasarkan pencapaiannya dalam bidang bina badan.

“Sebagai penaja, kami akan menanggung semua kos setiap kali Alrzrin bertanding kerana Alrzrin memiliki potensi cerah.

“Bagaimanapun penajaan kami tidak akan berhenti setakat ini sahaja kerana kami akan mengenal pasti beberapa bakat baharu yang boleh diketengahkan bukan sahaja dari bidang bina badan, bahkan juga dari lapangan lain seperti olahraga dan seni mempertahankan diri,” tegas beliau.

“Ini bertepatan dengan hasrat kami untuk menjadi penaung pasaran sukan dan kecergasan secara keseluruhannya.”

Mengenai pelan jangka masa panjang untuk perniagaannya, Ghaddafie berazam menjadikan Kuching Supplements sebagai antara pengedar produk makanan tambahan dan kecergasan tersohor di Borneo.

“Bagi saya, cabaran dan persaingan memang ada, tapi begitu juga potensinya, saya optimis peluang perniagaan berkonsepkan makanan kesihatan di Sarawak masih luas, baik dalam talian ataupun kedai.

“Bagi Kuching Supplements, operasi cawangan fizikal dan pesanan dalam talian kami saling melengkapi, dan sebagai usahawan Bumiputera, bagi saya jalan yang ada hanyalah ke depan, bukan ke belakang,” katanya sambil tersenyum.

PENDEDAHAN: Para peserta cabaran Extreme Body Weight anjuran Kuching Supplements bergambar setelah acara selesai.

Advertisement