Anda di sini

Jangan punggah balak di jalan raya

Advertisement

Oleh Watt Zacchaeus //

Pihak berwajib diminta nasihati operator prihatin terhadap keselamatan pengguna

JULAU: Penduduk daripada kira-kira 32 rumah panjang yang menggunakan Jalan Julau-Entabai merayu pihak berwajib menasihati operator dan pekerja kem pembalakan di Nanga Ijit di sini agar bertanggungjawab terhadap keselamatan pengguna jalan raya berkenaan.

Seorang penduduk berkata, kehadiran lori balak telah menimbulkan banyak kesulitan kepada mereka.

“Apabila treler ini keluar dari kem di tepi jalan, tayar treler meninggalkan kesan lumpur tebal di jalan raya.

“Kami perlu berhati-hati ketika memandu bagi mengelakkan tergelincir dan terbabas disebabkan lumpur licin dan tebal itu.

“Keadaan ini menyebabkan kesesakan lalu lintas teruk apabila pengguna jalan raya lain terpaksa memandu perlahan untuk mengelak lumpur tebal itu.

“Apa yang kami bimbangkan ialah memandu pada waktu malam kerana lumpur-lumpur tebal tidak kelihatan dengan jelas dan boleh menyebabkan kemalangan,” katanya di sini semalam.

Beliau mendakwa terdapat segelintir pemandu lori balak terbabit ‘keras kepala’ semasa melakukan kerja-kerja memunggah kayu balak ke dalam lori.

“Mereka dan pemandu kren melakukan kerja memunggah kayu balak di atas jalan raya sehingga menggunakan lebih separuh ruang jalan raya.

“Mereka seolah-olah tidak menghiraukan keselamatan pengguna jalan raya lain. Justeru, kami seolah-olah dibuli oleh mereka,” jelasnya.

Menurutnya, apabila proses kerja-kerja memuatkan kayu balak ke dalam treler dan ada kenderaan lalu-lalang menyebabkan mereka berasa takut dan bimbang keselamatan diri.

“Bayangkan jika kabel ataupun tali digunakan mengikat kayu balak itu terputus ia boleh meragut nyawa sesiapa sahaja.

“Sepatutnya, mereka harus melakukan kerja-kerja memunggah kayu balak ke dalam treler di tempat lain,”  katanya dengan nada kesal.

Wakil penduduk itu berkata, beberapa laporan dikemukakan kepada pihak berwajib bagi memantau dan menguatkuasakan undang-undang tetapi sehingga kini tiada sebarang tindakan.

“Kami meminta pemandu dan pekerja kem pembalakan terbabit sebelum apa-apa berlaku kerana jalan raya itu juga digunakan guru dan pelajar dari beberapa sekolah dan tadika.

“Menjadi tanggungjawab pihak pengurusan kem pembalakan membersihkan lumpur yang terdapat di sepanjang jalan terbabit,” katanya.

Advertisement