Anda di sini

Hantar anak alami ‘perkembangan yang terkebelakang’ ke pusat jagaan khusus

Advertisement

KUCHING: Ibu bapa yang mempunyai anak mengalami masalah ‘development delay’ atau ‘perkembangan yang terkebelakang’ disaran menghantar mereka ke pusat jagaan khusus yang melatih kanak-kanak sedemikian.

Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah menjelaskan bahawa kanak-kanak yang mengalami ‘perkembangan yang terkebelakang’ adalah tidak semestinya menghadapi masalah perkembangan fizikal, tetapi mungkin berhadapan kesukaran untuk mencapai perkembangan hidup seiring dengan usia mereka.

“Misalnya kanak-kanak itu dapat mendengar dengan baik tetapi belum pandai bercakap, maka ia mungkin ‘perkembangan yang terkebelakang’.

“Kanak-kanak ini secara fizikanya adalah baik cuma dia perlu dilatih dan semakin awal kita memberikan sokongan kepadanya, maka semakin baik hasilnya,” katanya pada temu bual selepas melawat Taska Bintang Intelek Montessori di Jalan Rubber Barat di sini, semalam.

Justeru, bagi meningkatkan kesedaran serta pengetahuan ibu bapa mengenai ‘perkembangan yang terkebelakang’ kanak-kanak, Fatimah berkata kementeriannya akan bekerjasama dengan para pengamal seperti Taska Bintang Intelek Montessori dan Jabatan Kesihatan Negeri.

“Kami mahu menyediakan sistem sokongan untuk kanak-kanak yang mengalami ‘perkembangan yang terkebelakang’ dan juga ibu bapa mereka,” katanya.

Pengetua Taska Bintang Intelek Montessori Datin Seri Hasnah Mahda menyifatkan pusat tersebut hanyalah ‘sekolah normal’ yang menyediakan persekitaran untuk kanak-kanak yang mengalami ‘perkembangan yang terkebelakang’.

“Akan sentiasa ada kanak-kanak yang mengalami ‘perkembangan yang terkebelakang’ dan kami cuma perlu mengenal pasti masalah serta cuba untuk membimbing mereka,” katanya.

Menurut Hasnah, sejak 21 tahun beroperasi, Taska Bintang Intelek Montessori telah meletakkan kadar kanak-kanak yang rendah bagi seorang guru untuk menyediakan latihan serta penjagaan yang lebih baik terhadap kanak-kanak berkenaan.

“Terdapat keadaan di mana memerlukan seorang guru untuk menjaga cuma dua kanak-kanak,” katanya sambil menambah, pusat tersebut menerima kira-kira 45 hingga 50 kanak-kanak setahun.

Advertisement