Anda di sini

Dua jabatan wajar sedia pusat jagaan kanak-kanak di tempat kerja

Advertisement

KUCHING: Jabatan Pendidikan Negeri dan Jabatan Kesihatan Negeri dikenal pasti sebagai antara agensi kerajaan yang sewajarnya menyediakan pusat jagaan kanak-kanak di tempat kerja.

Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah berkata ia ekoran 80 peratus daripada kakitangan di kedua-dua jabatan tersebut adalah wanita yang tergolong dalam umur produktif dan memerlukan kemudahan penjagaan kanak-kanak di tempat kerja masing-masing.

“Bilangan warga pendidik di Jabatan Pendidikan Negeri ialah seramai 54,119 orang dengan 62 peratus atau 33,880 orang adalah terdiri daripada pendidik wanita dan yang tergolong dalam umur produktif adalah seramai 27,136 orang atau 80 peratus.

“Bagi Jabatan Kesihatan (merujuk kepada kakitangan Hospital Umum Sarawak), jumlah kakitangan wanita adalah seramai 2,557 orang atau 70 peratus daripada 3,642 orang kakitangan keseluruhannya dan umur produktif di kalangan kakitangan wanita adalah sebanyak 86.9 peratus.

“Justeru, adalah perlu bagi kedua-dua jabatan ini mewujudkan pusat jagaan kanak-kanak di tempat kerja untuk menjaga kebajikan kakitangan dan anak-anak mereka,” katanya.

Beliau menyatakan demikian pada temu bual semasa mengadakan lawatan ke Taska Bintang Intelek Montessori, Jalan Rubber Barat di sini, semalam.

Menurut Fatimah, ruang yang terhad mungkin dijadikan alasan bagi sesebuah jabatan untuk tidak mewujudkan pusat jagaan kanak-kanak di tempat kerja, namun beliau percaya pengaturan ruang boleh dibuat untuk memenuhi keperluan tersebut.

“Pada hakikatnya, kerajaan persekutuan menyediakan geran untuk jabatan-jabatan mewujudkan pusat jagaan kanak-kanak sendiri selain bantuan kepada ibu bapa untuk menghantar anak-anak ke pusat tersebut,” katanya.

Advertisement