Anda di sini

Cadangan bina laluan bawah tanah di kawasan Pujut Tiga

Advertisement

MIRI: Laluan bawah tanah dicadangkan dibina di kawasan bulatan Pujut Tiga di hadapan GK Supermarket di sini untuk menggantikan jejambat.

Kaunselor Bruce Chai berkata, pembinaan laluan itu adalah idea baharu yang dianggap lebih menjimatkan berbanding pembinaan jejambat.

“Kos pembinaan laluan ini adalah 30 hingga 40 peratus lebih murah daripada kos pembinaan jejambat.

“Kami merasakan projek ini sesuai dibina di bulatan GK Supermarket dan menjadi laluan bawah tanah pertama di sini,” katanya pada sesi bertemu penduduk anjuran sukarelawan Majulah Miri di sini petang kelmarin.

Masalah kesesakan di bulatan berkenaan pada waktu puncak iaitu sebelah tengah hari dan waktu balik bekerja kerap disuarakan oleh penduduk yang berulang-alik melalui laluan berkenaan.

Sehubungan itu, Majulah Miri menerusi tiga pusat khidmat iaitu Pusat Khidmat Hii King Chiong, Pusat Khidmat Hii Chin dan Pusat Khidmat Chin Chai Kong kini sedang mengumpul tandatangan penduduk meminta kerajaan segera meluluskan permohonan geran menaik taraf laluan itu.

Pembinaan jejambat baharu merupakan antara cadangan untuk mengatasi masalah kesesakan di kawasan bulatan Pujut Tiga.

“Kami turut mengumpul persetujuan penduduk secara atas talian.

“Sekarang kami cuba melakukan secara tradisional dengan mendapatkan  tandatangan menggunakan borang kerana tidak ramai yang tahu melakukan secara online,” jelasnya.

Sebanyak 290 tandatangan berjaya dikumpul sejak kempen diperkenalkan secara online sejak dua bulan lalu.

Bruce berkata mereka menyasarkan 1,000 tandatangan daripada penduduk Miri.

Advertisement