Anda di sini

Bujang wajar dapat pengiktirafan

Advertisement

Oleh Mahathir Haroun //

Sumbangan Allahyarham mengharumkan Sarawak dan Malaysia dalam sukan bina badan amat besar

PENGHORMATAN TERAKHIR: Malek menyiram air di pusara Allahyarham Bujang Taha di Tanah Perkuburan Samariang, Kuching petang semalam.

KUCHING: Pemenang gelaran Mr Asia sebanyak empat kali, Allahyarham Bujang Taha, 77, sepatutnya mendapat pengiktirafan sewajarnya daripada kerajaan negeri atas sumbangan besarnya mengharumkan nama Sarawak dan Malaysia di pesada sukan antarabangsa.

Bekas jaguh bina badan negara, Datuk Malek Noor yang terkilan terhadap perkara itu berharap kerajaan negeri dapat memberi pengiktirafan sewajarnya kepada Allahyarham sekurang-kurangnya memberi gelaran ‘Datuk’ sebagai kebanggaan keluarganya serta rakyat Sarawak.

Beliau yang mewakili Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) akan memohon kepada kerajaan negeri untuk memberi pengiktrafan sewajarnya kepada Allahyarham.

“Allahyarham (Bujang Taha) mula terlibat dalam sukan bina badan sejak 1979, manakala saya pada 1985. Kalau saya sudah mendapat pengiktirafan kenapa Allahyarham masih belum diiktiraf sehingga hari ini.

“Saya berharap kerajaan negeri dapat memberi pengiktirafan sewajarnya sekurang-kurangnya memberi gelaran ‘Datuk’ kepada Allahyarham,” katanya pada sidang media selepas upacara pengkebumian Allahyarham Bujang Taha, di sini semalam.

Jenazah Bujang selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Samariang, di sini sekitar jam 2.45 petang dengan dihadiri kira-kira 100 orang bagi memberi penghormatan terakhir.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir sekitar jam 10.47 malam kelmarin di Hospital Umum Sarawak (HUS) dan meninggalkan seorang isteri, 10 anak, 25 cucu serta dua orang cicit.

Memenangi gelaran Mr Asia pada 1980, 1982, 1983 dan 1986, Allahyarham juga merupakan pemenang pingat emas Sukan SEA 1975 dan pingat perak Sukan Asia 1983.

Menurut Malek, perkenalannya bersama Allahyarham Bujang Taha bermula pada 1985 dalam pertandingan bina badan.

“Sepanjang mengenalinya, Allahyarham adalah orang yang baik dan tidak pernah sombong dan kami seperti adik-beradik.

“Saya masih ingat Allahyarham selalu memberitahu saya: ‘Malek Abang Sayang Kamu’ setiap kali kami berjumpa,” ujarnya.

Katanya, Allahyarham Bujang Taha merupakan ahli Yakeb dan warisnya layak menerima sumbangan khairat kematian berjumlah RM11,000.

“Kami (Yakeb) juga berkesempatan menghantar Allahyarham mengerjakan umrah pada 2010 selain menggantikan rumahnya yang terbakar,” kata Malek dengan nada sedih.

Advertisement