Anda di sini

80 peratus kemalangan berpunca kecuaian: Dr Tam

Advertisement

Oleh Agnes Tugong //

Pemandu perlu proaktif, berwaspada elak kemalangan

BAU: Pengguna jalan raya terutama pemandu kenderaan perlu bersikap lebih proaktif dan berwaspada dengan sebarang kemungkinan bagi mengelak berlakunya kemalangan.

Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Malaysia Datuk Dr Tam Weng Wah berkata 80 peratus daripada kemalangan adalah berpunca daripada kecuaian pengguna.

Justeru katanya, sebagai pengguna katanya kita perlu lebih berwaspada ketika memandu di jalan raya dan mematuhi peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa.

“Statistik menunjukkan bahawa trend kemalangan di negara ini masih kurang memuaskan kerana kita masih belum mencapai sasaran penurunan indeks kemalangan yang disasarkan.

“Untuk menjadi sebuah negara yang maju, kita perlu mencapai indeks kemalangan dua atau kurang bagi setiap 10,000 kenderaan, 10 atau kurang bagi setiap 100,000 penduduk dan 10 atau kurang bagi setiap satu bilion perjalanan.

“Tahun lepas, trend menunjukkan bahawa 2.9  kematian akibat kemalangan dicatatkan bagi setiap 10,000 kenderaan dan 23.1 kematian daripada 100,000 yang mana masih jauh daripada sasaran,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Pendidikan Keselamatan Jalan Raya (RSE) sempena Program Khidmat Komuniti PLKN Peringkat Negeri Sarawak Kumpulan 3 Siri 11/2014 di Kem PLKN Permai di sini semalam.

Tambah Dr Tam bagi mencapai sasaran penurunan kemalangan, jemaah menteri pada 13 Ogos lepas telah meluluskan Pelan Keselamatan Jalan Raya Malaysia 2014-2020.

Pelan itu menurut Dr Tam, berpandukan Tindakan Sedekad Global Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menekankan keperluan program keselamatan jalan raya yang berorientasikan hasil.

“Setiap tahun, negara kehilangan lebih 6,000 nyawa akibat kemalangan jalan raya dan mendatangkan kerugian kepada negara lebih daripada RM8.3 bilion.

“Pada tahun 2013, keseluruhan jumlah kematian akibat kemalangan jalan raya adalah seramai 6,915 orang dan mengambil kira asas pengiraan oleh MIROS iaitu satu kematian bersamaan nilai RM1.2 juta.

“Menerusi pelan ini, kami menyasarkan penurunan 50 peratus kematian akibat kemalangan jalan raya daripada  10,716 kematian yang dianggarkan pada 2020,” tambahnya.

Turut hadir, Pengarah JKJR Sarawak Davina Agnes Enteli, Pengarah Zon J yang juga Komandan Kem PLKN Putra Sentosa Leftenan Kolonel Rahamen @ Abdul Rahman Wok serta lain-lain.

Advertisement