Anda di sini

SLTA serius bangunkan tenis

Advertisement

Oleh Mahathir Haroun //

Beberapa pemain muda S’wak telah dihantar sertai latihan di Akademi Tenis Kebangsaan

KUCHING: Sarawak serius dalam membangunkan sukan tenis dengan beberapa pemain muda yang akan dihantar untuk mengikuti program latihan di Akademi Tenis Kebangsaan, Jalan Duta, Kuala Lumpur.

Pemain yang terlibat merangkumi Mohd Assri Merzuki yang kini bermain secara profesional.

Selain itu, Alvin Teng yang berusia 14 tahun, juara perseorangan perempuan kejohanan Asian 14 dan Under Series Elysia Wan,14, dan Belinda Chai Chai serta Linda Liong juga akan mengikuti program itu.

Presiden Persatuan Lawn Tenis Sarawak (SLTA) Datuk Patrick Liew berkata, akademi tersebut adalah inisiatif Majlis Sukan Negara (MSN) dengan kerjasama Persatuan Lawn Tenis Malaysia (LTAM) bermula Mac tahun ini.

Ketika ini terdapat 10 pelatih lelaki dan 12 pelatih perempuan berlatih di bawah program itu yang dikendalikan jurulatih kebangsaan Deen Hesham Abdullah Tan.

Deen dibantu dua jurulatih asing iaitu James Peter dari Australia yang menumpukan kepada pembangunan pemain manakala Eric Pietrsz dari Belanda melatih pemain elit.

“Biarpun masih diperingkat permulaan, saya melihat pelatih menunjukkan kemajuan dan ada di antaranya yang sudah memenangi mata ranking,” kata Patrick ketika dihubungi.

Katanya, akademi menyediakan peluang terbaik kepada pemain yang bermain tenis secara sepenuh masa.

“Ini juga merupakan program jangka panjang dan akan melahirkan pemain negara yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa seperti Davis Cup dan Fed Cup,” ujarnya.

Menurut Patrick lagi, Assri telah menamatkan latihan di Amerika Syarikat dan kini mengikuti latihan di akademi sebagai persiapan menghadapi Davis Cup tahun depan.

Advertisement