Anda di sini

Siswa@Kampung pupuk pengguna bijak

Advertisement

Sumbangan Sudirman Asmadi //

BERBAKTI: Pelajar Bakti Siswa (QKK2101) mengabadikan gambar kenangan sempena penganjuran Program Kepenggunaan Luar Bandar 1Malaysia Siswa@Kampung Penan Muslim Batu 10.

WALAUPUN hanya tiga hari program dilaksanakan, kesedihan 31 mahasiswa Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB) menjadikan suasana sebak pada majlis penutupan Program Kepenggunaan Luar Bandar 1Malaysia Siswa@Kampung di Kampung Penan Muslim Batu 10, Bintulu baru-baru ini.

Tempoh singkat berada di Kampung Penan Muslim Batu 10, Jalan Bintulu-Miri tidak disia-siakan peserta untuk menjalin hubungan erat dengan menjadikan sebahagian isi rumah di situ sebagai keluarga angkat mereka.

“Kami ibu dan ayah angkat kamu amat berharap agar hubungan ini tidak hanya untuk tempoh program ini sahaja, datanglah ke sini semula dan kami sangat alu-alukan kepulangan anak-anak ke sini,” ujar Ketua Kaum Raini Piee.

Pengarah program Nazifa Athirah Mat Zakhi turut menzahirkan jutaan terima kasih atas sokongan semua pihak dan berusaha untuk terus menyumbang kepada kampung itu.

“Kami pasti akan kembali ke sini lagi,” katanya yang merupakan pelajar semester tiga Diploma Perniagaan Tani di UPMKB.

Program tersebut mendapat sokongan penuh dan peruntukan kewangan dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Persekutuan dan Negeri Sarawak sebagai aktiviti kerjasama kedua UPM dan KPDNKK dalam memberi khidmat komuniti dan menyalurkan info penting berkaitan isu-isu kepenggunaan.

Pelbagai aktiviti lain turut diadakan, antaranya, latihan kaedah penanaman akuaponik, rewang se-kam-pung dan gotong-royong perdana serta penanaman pokok yang mendapat kerjasama Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA).

Turut diadakan sesi ceramah dan forum berkaitan isu-isu kepenggunaan, diselangi pertandingan seperti pertandingan mewarna untuk kanak-kanak, ‘explorace’ pengguna dan Pertandingan Memasak Menu Sihat.

Majlis disempurnakan Timbalan Pengarah KPDNKK Negeri Sarawak Mohd Nor Musa mewakili Timbalan Menteri PDNKK Malaysia Senator Dato’ Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

Ahmad Bashah menekankan peranan semua pihak dalam menjayakan rencana dan pelan pembangunan kerajaan terutama dasar-dasar negara, termasuklah Dasar Pengguna Negara yang berharap dapat membentuk rakyat Malaysia menjadi pengguna dinamik, progresif dan berkualiti serta memacu suasana pasaran adil dan beretika selaras Wawasan 2020.

Majlis diakhiri dengan penyampaian hadiah bagi pemenang pertandingan dan cenderahati kepada semua keluarga angkat.

Advertisement