Anda di sini

Pelan strategik sukan negara

Advertisement

Mentransformasikan Malaysia sebagai sebuah negara sukan amat bertepatan, kata Lee

Oleh Harry Ilias //

KUCHING: Menteri Muda Sukan Datuk Lee Kim Shin menyambut baik Bajet 2015 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mentransformasikan Malaysia sebagai sebuah negara sukan.

Menurutnya, empat langkah bersepadu ke arah itu yang digariskan oleh Najib pada Bajet 2015 kelmarin tepat pada masanya dalam usaha menaikkan standard sukan negara.

LEE KIM SHIN

“Ini adalah satu cadangan yang sangat baik dan bertepatan dengan usaha kita untuk meningkatkan mutu sukan negara,” kata Lee ketika dihubungi di sini semalam.

Katanya, industri sukan negara memerlukan satu pelan strategik yang holistik di mana kita harus bermula dari peringkat akar umbi,” katanya merujuk kepada program pencarian bakat ‘Malaysian Talent Identification’ yang akan diperkenalkan di sekolah rendah seluruh negara.

Menurutnya, fokus kerajaan untuk meningkatkan mutu sukan bola sepak, berbasikal, badminton, sepak takraw, renang dan olahraga adalah sangat wajar bagi meletakkan Malaysia setanding dengan negara-negara lain.

Namun, beliau berharap sukan lain seperti taekwondo, wushu dan terjun tidak diketepikan dalam program pembangunan sukan-sukan terbabit.

“Selain itu, kita juga perlu menambah bilangan jurulatih berkualiti serta meningkatkan fasiliti sukan sedia ada. Penggunaan teknologi sains sukan juga perlu diperluaskan untuk membantu memantapkan keupayaan atlet negara,” tambahnya.

Lee yang juga Menteri Muda Perhubungan turut menyokong pengenalan Hari Sukan Negara pada Sabtu pertama setiap November dengan penglibatan sektor awam, swasta dan rakyat secara serentak di seluruh negara.

Katanya, program ‘FitMalaysia’ itu akan membantu meningkatkan kesedaran kalangan rakyat negara ini tentang pentingnya penjagaan kesihatan secara bersukan seiring dengan objektif melahirkan rakyat yang sihat, cergas dan produktif.

Bagaimanapun, beliau berkata peruntukan sejumlah RM103 juta untuk melaksanakan langkah bersepadu itu tidak mencukupi.

“Sarawak sendiri memerlukan sekurang-kurangnya tiga sekolah sukan untuk menempatkan atlet-atlet berbakat dari seluruh negeri ini.

“Ini akan melibatkan kos yang sangat besar kerana setiap sekolah perlu dilengkapi dengan fasiliti sukan terkini bagi memastikan kita dapat melahirkan atlet-atlet berkualiti pada masa akan datang,” katanya.

Advertisement