Anda di sini

Empat pasukan gegarkan gelanggang muaythai di Bintulu

Advertisement

BINTULU: Sebanyak empat pasukan berentap pada Kejohanan `Exposure Muaythai Mini Event’ Siri 1 di Bangunan Martabat Rancangan Perumahan Rakyat (RPR) Sebiew di sini semalam.

Pasukan itu terdiri Kelab PS Muaythai Sibiew, Persatuan Muaythai UiTM Sarawak, Kelab Muaythai Phoenix Meranek dan Persatuan Muaythai UNIMAS.

Kejohanan pertama kali diadakan di sini merupakan anjuran Kelab PS Muaythai Sibiew dengan kerjasama Persatuan Muaythai UiTM Sarawak.

Sebanyak 15 perlawanan diadakan dengan setiap satu perlawanan ditetapkan dalam tiga pusingan.

Tujuh perlawanan membabitkan kategori amatur dan profesional serta satu lagi kategori kanak-kanak.

Upacara dimulai dengan pembukaan gelanggang Tarian Sembah Guru atau Waikru oleh seorang ahli Kelab PS Muaythai Sibiew.

Perlawanan dihakimi oleh ahli Pertubuhan Kebajikan Islam Warisan Sarawak (PEJASA) Kuching, Azli Karim.

Menurut jurucakap penganjur, kejohanan itu bertujuan menarik lebih ramai belia bergiat aktif dalam sukan muaythai ataupun sukan-sukan lain.

“Melaluinya sekurang-kurangnya dapat membantu mempromosi sukan muaythai kepada penduduk setempat,” katanya semalam.

Beliau berkata, sukan muaythai bukan hanya memfokus kepada seni mempertahankan diri malah dapat membantu penjagaan kesihatan minda dan fizikal.

Katanya, selain Bintulu terdapat beberapa lagi kelab dan persatuan muaythai berdaftar di bawah Pesuruhanjaya Sukan di seluruh Sarawak.

Advertisement