Anda di sini

Polis ambil keterangan klinik disyaki tawar gugur janin

Advertisement

BUKIT MERTAJAM: Polis mengambil keterangan seorang doktor lelaki bagi membantu siasatan berhubung serbuan ke atas sebuah klinik swasta di Bukit Mertajam, di sini kelmarin yang didakwa menawarkan perkhidmatan menggugurkan janin.

Ketua Polis daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Rusli Mohd Noor berkata doktor berusia 54 tahun yang juga pemilik klinik berkenaan ditahan pada jam 8 malam kelmarin dan dia dibebaskan dengan jaminan polis beberapa jam kemudian.

“Pada jam 5 petang kelmarin, sepasukan pegawai dan anggota daripada Unit Kawasan Amalan Kesihatan Swasta (UKAPS) Kementerian Kesihatan melakukan pemeriksaan rutin di klinik itu dan mengesyaki premis berkenaan turut menawarkan khidmat menggugurkan janin.

“Ketika pemeriksaan dilakukan terdapat seorang wanita warga Nepal sedang berbaring dalam klinik itu dan selepas ditanya dia memaklumkan mahu menggugurkan kandungannya, menyebabkan pegawai dan anggota kesihatan terus melakukan pemeriksaan terperinci,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Beliau berkata polis turut menahan wanita itu dan pasangannya berusia 30-an yang juga rakyat Nepal untuk diambil keterangan dan mereka dibebaskan beberapa jam kemudian.

Sementara itu jurucakap Jabatan Kesihatan negeri ketika dihubungi turut mengesahkan pihaknya melakukan pemeriksaan di klinik berkenaan namun enggan mendedahkan butiran lanjut. — Bernama

Advertisement