Anda di sini

Kamus ‘English-Iban’ akhirnya menjadi kenyataan bagi Benneth

Advertisement

Oleh Clare Cinderella

 

DI PASARAN: Kamus English-Iban Dictionary In Alphabetical Index yang setebal 417 muka surat dengan lebih 17,000 perkataan kini sudah berada di pasaran.

SETELAH enam tahun bertungkus-lumus dengan mengorbankan masa, tenaga malah pekerjaan beliau, akhirnya Benneth Bunyau Buda, kini menarik nafas lega apabila kamus yang diharapkannya dan dinantikan telah siap dibuku dan diterbitkan oleh beliau sendiri.

‘English-Iban Dictionary In Alphabetical Index’ adalah kamus Iban yang pertama seumpamanya pernah diterbitkan di negeri ini atau mungkin jua di negara ini.

Kamus setebal 417 muka surat itu memuatkan hampir 17,000 perkataan atau istilah di bawah Indeks Abjad yang berbeza.

Ia merangkumi bukan sahaja perkataan atau istilah yang umum dan biasa dituturkan oleh masyarakat Iban di negeri ini malah turut merangkumi istilah dalam bidang perubatan yang terdiri lebih daripada 3,000 perkataan, bidang perundangan yang mempunyai hampir 3,000 perkataan serta istilah dalam sains dan teknologi dan sebagainya yang merangkumi lebih 5,000 perkataan.

Umumnya, ia adalah kamus yang mungkin hampir lengkap dari setiap aspek, pernah diterbitkan dan pastinya amat berguna dan berilmu bagi semua peringkat khususnya kaum Iban, dari golongan pelajar sekolah, institusi pengajian tinggi hingga ke peringkat profesional, yang mahu memiliki terjemahan bahasa Inggeris ke dalam bahasa Iban.

Bagi mereka yang ingin tahu maksudnya setiap istilah bahasa Inggeris dalam bahasa Iban termasuk mereka yang terbabit dalam bidang penulisan, kamus ini adalah sesuatu yang wajar dimiliki.

“Saya mengambil masa selama enam tahun menyiapkan kamus ini dan menjadikan ia satu realiti kerana ia adalah impian saya untuk menyedia dan menerbitkan sebuah buku yang boleh dijadikan rujukan komprehensif bukan sahaja oleh pelajar sekolah, kolej mahupun universiti, malah bagi golongan profesional dan individu,” jelasnya ketika ditemu bual oleh Utusan Borneo baru-baru ini.

Bagi setiap usaha yang ingin dilakukan pastinya ada sesuatu untuk memotivasikan diri mereka dan begitu juga dengan Benneth yang tidak mahu kritikan yang dilempar, melemahkan semangatnya.

“Apa yang memberikan saya motivasi adalah, keinginan saya untuk melihat lebih banyak bahan bacaan, bukan sekadar buku berbentuk hiburan, tetapi juga buku-buku untuk rujukan dan juga buku teks untuk subjek Bahasa Iban jika ia termasuk dalam kurikulum,” katanya.

Menurut Benneth, jika beliau tidak mampu menghasilkan sebuah buku teks untuk mata pelajaran bagi Bahasa Iban, setidak-tidaknya beliau menghasilkan buku yang boleh dijadikan rujukan bagi menambahkan jumlah buku-buku ilmiah dalam bahasa Iban.

Perlu ada pelbagai bahan bacaan dan rujukan serta buku teks Bahasa Iban jika masyarakat Iban di negeri ini benar-benar mahu memartabatkan bahasa Iban sebagai bahasa ilmu dan bukan sebagai bahasa yang hanya untuk menerbitkan bacaan ringan seperti majalah hiburan, novel ataupun untuk lirik lagu-lagu Iban semata-mata.

“Hanya dengan demikian, maka bahasa Iban boleh dimartabat dan diperkasakan menjadi bahasa ilmiah atau bahasa bagi ilmu pengetahuan,” katanya lagi.

Namun bagi Benneth untuk melahirkan buku seumpama itu bukan perkara yang mudah malah beliau menerima banyak kritikan dan komitmen beliau itu ada kalanya tidak disenangi oleh keluarga dan saudara, malah ada yang tergamak mengatakan tindakan beliau itu adalah melakukan sesuatu yang mustahil dan tidak mendatangkan hasil.

Apatah lagi dengan tindakan beliau yang meninggalkan kerjayanya bersama syarikat berkaitan minyak dan gas yang menawarkan gaji lumayan, semata-mata untuk menjadi penulis buku sepenuh masa.

Beliau mengakui menghabiskan masa selama 10 jam setiap hari semata-mata untuk memberi komitmen kepada buku tersebut.

“Saya pernah dalam keadaan yang paling sukar, hampir-hampir berputus asa, apabila meninggal kerjaya tetap, menjadikan saya sebagai penganggur selama 13 tahun dan menyebabkan saya berdepan dengan masalah kewangan.

“Namun demi minat yang mendalam, hasrat dan niat yang murni mahu menyaksikan masyarakat Iban memiliki buku ilmiah yang boleh dibanggakan dan dijadikan rujukan pada masa masa, saya kuatkan semangat saya untuk meneruskannya (menerbitkan kamus tersebut),” katanya.

Selama 13 tahun tidak bekerja dengan menjadi penulis sepenuh masa untuk memberikan fokus dan perhatian sepenuhnya kepada kamus tersebut dan buku-buku yang lain, Benneth memulakan segalanya di kedai kopi, dengan menyewa sebuah meja dan kerusi.

Dengan simpanan yang ada, beliau kemudiannya menyewa bilik di bangunan kedai yang kemudiannya dijadikan sebagai pejabat beliau di Lutong.

Di pejabat tersebut beliau meluangkan kebanyakan masanya untuk menulis buku dan juga menjalankan beberapa perniagaan sebagai kontraktor kecil-kecilan bagi menampung perbelanjaan dan sewa pejabatnya menerusi syarikatnya, Ecopower Resources Company (Ecopower).

Bagaimanapun, disebabkan oleh komitmen yang mendalam terhadap bidang penulisan dan hasrat beliau menerbitkan buku-buku tulisannya, perniagaan yang dijalankan sebagai subkontraktor, sering kali ‘terganggu’, ditambah dengan kekangan kewangan untuk menggaji pekerja bagi mengendalikan perniagaannya.

Dengan konsepnya yang lebih senang dan bebas bekerja sendiri, Benneth tetap meneruskan hasratnya.

Justeru dalam tempoh 13 tahun menulis, enam tahun dihabiskan untuk menghasilkan, English-Iban Dictionary In Alphabetical Index, beliau pada masa yang sama turut menulis dan menghasilkan 10 buah buku yang lain.

“Ini kerana tidak sepanjang masa enam tahun itu saya perlu fokus dengan sebuah buku semata-mata, ada kalanya idea saya ‘hilang’, justeru masa untuk mengembalikan idea itu diisi dengan menulis buku yang lain.

“Ada kalanya, ketika mencari bahan dan idea untuk kamus berkenaan, kadangkala muncul idea saya untuk projek buku yang lain, maka saya beralih kepada buku tersebut dan memanfaatkan sepenuh idea yang datang mencurah.

“Oleh sebab itu dalam tempoh yang sama menyiapkan kamus berkenaan saya turut menulis dan tanpa sedar menyiap 10 buah buku yang lain,” tambahnya ketika mengimbau usahanya menulis buku-bukunya.

10 buah yang lain ditulis oleh beliau ialah sebuah lagi buku kamus ‘Iban-English-Iban’, Rambai Jaku Iban, Jerita Iban, Pengarap Lama Iban, Adat Iban, majalah dan novel Iban yang kesemuanya dalam bahasa Iban, kecuali satu-satunya buku tulisan beliau dalam bahasa Inggeris iaitu buku mengenai pergolakan politik Sabah, yang ditulis berdasarkan pengalaman beliau sendiri sepanjang berkhidmat sebagai wartawan bersama akhbar The Borneo Post di Sabah lewat 90-an.

Usaha tersebut katanya, bukan bersandarkan minat semata-mata, sebaliknya untuk menjadi penulis buku, beliau berkata seseorang perlu memiliki 70 peratus bakat, manakala 30 peratus lagi adalah penyelidikan atau kajian yang perlu dilakukan untuk mendapatkan fakta atau bahan bagi buku yang hendak ditulis.

“Hanya dengan menggabungkan kedua-dua perkara tersebut ditambah dengan minat dan kesungguhan, anda akan berjaya menjadi penulis yang baik,” tambahnya yang berasal dari Nanga Geremai, Kanowit.

Kini, dengan semangat yang kuat dan tidak mudah mengalah dan enggan mahu bergantung dengan bantuan orang lain, Benneth berjaya menubuhkan syarikat penerbitan sendiri, Iban DotCom Publication.

Melalui syarikat penerbitannya itu, Benneth bukan sekadar penulis kepada bukunya, dengan pengalamannya sebagai bekas wartawan dalam akhbar The Borneo Post, malah beliau turut menjadi penyunting dan penerbit dengan menerbitkan buku-bukunya, menggunakan duit saku sendiri tanpa meminta bantuan mahupun peruntukan sesiapa pun.

“Inilah yang menjadikan semangat saya semakin kuat untuk menerbitkan buku-buku saya. Saya mahu membuktikan kepada mereka yang di luar sana, yang memandang rendah penulis sepenuh masa seperti saya, bahawa usaha saya untuk menerbitkan buku-buku bahasa Iban untuk dijadikan bahan-bahan bacaan dan rujukan yang berguna, bukan sesuatu yang sia-sia,” katanya.

Dilahirkan pada 1955, Benneth pernah mendapatkan pendidikan di Sekolah Datuk Haji Abdul Rahman Yakub (SEDAYA) Secondary Shool (SMK Sedaya hari ini) pada 1968 sebelum menyambung pendidikan tingkatan empat dan lima di Sibu Rural Secondary School di Jalan Oya (ketika ini ia dinamakan SMK Luar Bandar Sibu) dan kemudian meneruskan pengajian di MARA College di Kuching.

Benneth memulakan kerjaya dengan Lembaga Pemasaran Lada Hitam Sarawak di Kuching (ketika ini ia dinamakan Lembaga Pemasaran Lada Malaysia) pada 1975 sebagai Penolong Penyelia Pemasaran, sebelum beliau menjadi guru di SMK Sedaya selama tiga tahun dan di SMK Kanowit selama setahun dan kemudian bersara dari bidang perguruan untuk berhijrah ke Miri, seterusnya bekerja dengan syarikat dalam industri minyak dan gas yang menawarkan gaji lumayan, serta kerap kali dihantar bertugas ke perairan di luar negara.

Beliau mulai berjinak dengan bidang penulisan ketika bekerja di negara Brunei Darussalam dan sanggup menjadi wartawan sambilan dengan Borneo Buletin tanpa meminta gaji, semata-mata minat menulis. Dari Borneo Buletin, beliau kemudian menghantar berita untuk The Borneo Post.

Malah pada 1998 beliau ditawarkan oleh The Borneo Post untuk jawatan wartawan tetap dan peluang itu disambut dengan baik, sekali gus meninggal kerjayanya dalam industri minyak dan gas, meskipun bergaji belasan ribu ketika itu, untuk memulakan tugasnya sebagai wartawan di The Borneo Post cawangan Bintulu.

Dalam tahun yang sama juga beliau dipindahkan ke Labuan dan seterusnya ke cawangan The Borneo Post, Kota Kinabalu di Sabah, sebelum beliau meletakkan jawatannya pada 2001 untuk kembali ke Miri dan meneruskan minatnya sebagai penulis buku, sehingga kini.

“Buku yang mula-mula ditulis oleh saya pada tahun 1987 ialah Kamus Iban-English-Iban, selepas lima tahun menulisnya, saya berputus asa kerana ia terlalu sukar dilakukan ketika itu, namun selepas lebih 20 tahun kemudian, saya kuatkan semangat untuk menyambung semula kamus berkenaan sehinggalah ia hampir disiapkan ketika ini,” jelasnya lagi.

Selain kamus, ‘English-Iban Dictionary In Alphabetical Index’, Benneth bakal menerbitkan sebuah lagi kamus ‘Iban-English-Iban Dictionary’ setebal 2,000 muka surat (yang tergendala lebih 20 tahun); ‘Rambai Jaku Iban’ yang mempunyai lebih 3,000 ayat dan prasa. Kedua-dua buku tersebut kini sudah pun 80 peratus siap.

Manakala buku ‘Tusun Tunggu Iban’ yang hampir siap sepenuhnya dan kini dalam proses penyuntingan, merupakan dan satu-satunya buku berkenaan adat perundangan, hukum dan denda dalam budaya Iban yang dikupas satu-persatu dalam buku bahasa Iban.

Manakala buku ‘Jerita Iban’ yang lebih kepada sejarah kaum Iban di negeri ini dan ‘Pengarap Lama Iban’ sudah hampir siap sepenuhnya; sementara buku Adat Iban yang lebih kepada budaya dan tradisi kaum Iban (dengan 100 muka surat) sudahpun siap dan bakal diterbitkan. Buku ini katanya amat bermakna sekali khususnya bagi generasi muda yang kebanyakan tidak tahu mengenai adat lama kaum Iban terutama yang sudah tidak diamalkan lagi ketika ini.

Sebuah lagi buku yang dianggap istimewa oleh beliau, berjudul ‘Nama’, kini hampir siap sepenuhnya. Buku ini menurut Benneth memuatkan ‘nama’ yang perlu diberi dan digelarkan kepada seseorang dalam budaya Iban, selain turut dipaparkan nama-nama binatang dan nama ‘dewa-dewi’ atau ‘Petara’ dan nama-nama ‘Antu’ dalam budaya dan kepercayaan kaum Iban. Jika diterbitkan kelak, buku ini adalah yang pertama seumpamanya, lebih-lebih lagi ia diterbitkan khusus dalam bahasa Iban.

Sementara buku mengenai politik Sabah (yang masih dirahsiakan judulnya) sudah siap empat tahun yang lepas dan sebuah majalah Iban juga telah disiapkan sejak lima tahun lalu.

“Kesemuanya menunggu masa untuk diterbitkan satu-persatu, bergantung kepada kemampuan kewangan saya,” tambahnya.

Dengan keadaan kesihatan yang semakin tidak mengizinkan, beliau berharap untuk melihat semua buku tulisannya dapat diterbitkan dengan lancar dan seterusnya dipasarkan demi mengisi keperluan bahan bacaan dalam bahasa Iban.

Dalam pada itu kamus English-Iban Dictionary In Alphabetical Index kini sudah berada di pasaran dengan harga RM180 (di Sarawak) manakala harga bagi Sabah dan Semenanjung Malaysia ialah RM200 (termasuk kos penghantaran).

Orang ramai juga boleh membeli buku ini secara terus daripada beliau dengan menghubungi Benneth di talian 019-8908334.

Advertisement