Anda di sini

Elaun Anggota Parlimen naik, kenaikan gaji menteri ditangguh

Advertisement

KUALA LUMPUR: Kesemua 222 Anggota Parlimen akan menikmati kenaikan elaun, berkuat kuasa 1 Jan tahun depan.

Selain itu, Yang Dipertua Dewan Rakyat dan Yang Dipertua Dewan Negara serta timbalan Yang Dipertua juga akan menikmati kenaikan gaji dan elaun.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata elaun Anggota Dewan Rakyat akan dinaikkan daripada bersamaan Gred 54 kepada bersamaan gred Jusa C manakala elaun anggota Dewan Negara akan dinaikkan daripada bersamaan gred 48 kepada bersamaan antara gred 54 dan Jusa C.

“Tanggungjawab seorang anggota Parlimen begitu besar dan bermakna pada komuniti dan masyarakat setempat. Mereka adalah ketua yang perlu memimpin masyarakat setempat dari semua aspek termasuk kebajikan, keagaman, sosial dan pendidikan.

“Dengan kata lain, khidmat anggota Parlimen sebagai wakil atau pemimpin di kawasan Parlimen masing-masing adalah mendesak tidak mengira waktu.

“Bagi mencerminkan tahap tanggungjawab dan kepimpinan ini, saya mencadangkan agar elaun anggota Parlimen dinaikkan,” katanya ketika membentangkan ‘Bajet 2015: Ekonomi Keperluan Rakyat’ di Dewan Rakyat di sini semalam.

Namun begitu, Najib yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan telah mengambil keputusan supaya semakan kenaikan gaji bagi anggota pentadbiran dikaji serta ditangguhkan keputusannya sehingga satu masa yang bersesuaian.

“Ini termasuklah perdana menteri, timbalan perdana menteri, menteri-menteri kabinet dan timbalan-timbalan menteri,” katanya. — Bernama

Advertisement